ARTIKEL

HARMONI... Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ditemani Dr. Sim dan tetamu kehormat lain merakam gambar kenangan bersama.

Kepelbagaian, keharmonian kekuatan utama Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang disuburkan dengan sikap saling menghormati menjadi antara kekuatan utama Sarawak dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan perpaduan rakyatnya.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan kemajuan teknologi, sebaliknya turut mengambil kira kekuatan rakyat serta ketahanan komuniti.

“Perkembangan hanya bermakna apabila ia meningkatkan taraf kehidupan rakyat, memperkukuh institusi keluarga, membina komuniti yang prihatin dan menyediakan peluang kepada setiap individu untuk menyumbang kepada kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian pada Majlis Makan Malam Sambutan Naw-Ruz dan Ulang Tahun ke-75 Komuniti Bahá’í Sarawak di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan keharmonian yang dinikmati Sarawak tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dipupuk sejak beberapa generasi menerusi semangat muhibah, toleransi serta kesediaan masyarakat memahami dan menghargai kepercayaan dan tradisi antara satu sama lain.

Menurutnya, Sarawak telah lama dikenali sebagai negeri yang memperlihatkan kehidupan bersama secara harmoni dalam kalangan masyarakat berbeza kaum, budaya dan agama.

Bagi memastikan keharmonian itu terus dipelihara katanya, Kerajaan Sarawak menubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam menggalakkan persefahaman, rasa hormat dan kerjasama antara penganut agama berlainan.

“Melalui institusi unik ini, kita terus menyokong komuniti agama dalam melaksanakan aktiviti masing-masing selain memperkukuh hubungan antara agama demi kepentingan semua rakyat Sarawak,” jelasnya.

Tambah Abang Johari, prinsip kesatuan yang ditekankan dalam ajaran Bahá’í turut selari dengan semangat yang menjadi asas kehidupan masyarakat Sarawak, iaitu perpaduan tidak bermaksud keseragaman, sebaliknya kesatuan dalam kepelbagaian.

Katanya, rakyat Sarawak datang daripada latar belakang etnik berbeza, menganut pelbagai agama, bertutur dalam bahasa yang berbeza dan mengamalkan tradisi budaya tersendiri, namun tetap bersatu atas identiti sebagai rakyat Sarawak.

Beliau berkata setiap komuniti agama mempunyai peranan penting dalam membentuk masyarakat yang penyayang, berdaya tahan dan bersatu, termasuk melalui usaha memperkukuh institusi keluarga, memperkasa golongan muda, menggalakkan kerja sukarela serta meningkatkan persefahaman antara masyarakat.

Justeru, Abang Johari merakamkan ucapan tahniah kepada Komuniti Bahá’í Sarawak sempena ulang tahun ke-75 dan menyifatkan komuniti itu sebagai sebahagian daripada landskap masyarakat Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan agama.

Jelas beliau lagi, sepanjang tujuh dekad setengah, penekanan komuniti Bahá’í terhadap pendidikan, pembangunan moral, pembinaan komuniti dan khidmat kepada masyarakat telah menyumbang kepada usaha membentuk komuniti yang lebih kukuh dan prihatin di Sarawak.

“Marilah kita memelihara keharmonian yang diwarisi, memperkukuhnya untuk generasi masa kini dan menyampaikannya kepada generasi akan datang,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU