ARTIKEL

Kepengarangan Frankie Latit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ABANG MEDIAN ABANG SAID

SIRI 1

BIAR saya perkenalkan diri saya terlebih dahulu – Abang Median Abang Said – seorang penulis, guru dan ahli PUTERA yang berasal dari Kuching dan berkelana ke ceruk pelosok daerah Baram sehingga ke Long Banga melalui jeram, batu, arus dan pusar air selama 30 tahun sehingga menjadikan air sungai itu sebagai dakwat yang mengalir dalam karya-karya awal saya.

Perkara ini mempunyai kesinonimannya sewaktu saya menyusuri dan menyelami karya Frankie Latit yang juga persis menyusuri Sungai Baram – terus hadir dan mengalir – kekadang perlahan, kekadang deras ( dengan gaya penulisan dan penyusunan plotnya), kekadang menenggelamkan dunia pembaca ke dalam dunia yang berbeza terutama dunia perubatan hingga akhirnya akan tetap terdampar di muara budaya.

Itulah perbezaan ketara pada karya Frankie Latit – jikalau ditanya kepada saya, siapakah cerpenis Sarawak yang baik dan menjanjikan – saya tidak teragak-agak untuk menyebut nama Frankie Latit yang mempunyai aura kepengarangan yang tersendiri – meninggalkan nama-nama penulis lain yang sezaman atau terkemudian daripadanya.

Namun saya sedikit terkilan kerana dunia sastera nasional lebih mengenali penulis Sarawak yang lain – mungkin disebabkan keprolifikan.

Frankie pula hanya mahu karya yang mengesankan – bukan karya yang stereotaip malah mampu memberikan impak maksimum kepada pembaca biarpun ditulis dalam jumlah yang sedikit.

Di Sarawak sendiri terdapat nama besar seperti Awangku Merali Pengiran Mohamad – yang hanya mempunyai sebuah kumpulan cerpen – Cerita Dari Sebuah Taman – tetapi gaya naratif penulis berkenaan dan cerpennya sentiasa dikagumi oleh pembacanya termasuk cerpen Tanjung, Ber(se)lindung Di Sebalik Gunung, Bikin Filem di Mallywood dan bebarapa cerpen lain lagi.

Frankie juga mahu melukis peta kepengarangannya seperti Tanjung, Gunung dan Filem yang dihasilkan oleh Awangku Merali Pengiran Mohamad.

Dalam menelusuri sastera global, penulis seperti Juan Rulfo yang berasal dari Mexico juga mempunyai karya yang sedikit – novel Pedro Paramo dan kumpulan cerpen Dataran Dalam Kobaran Api (terjemahan bahasa Indonesia) – tetapi menjadi pencetus kepada gaya Realisme Magis yang menjadi kesukaan Gabriel Garcia Marquez – penerima Hadiah Nobel dengan novel terakhirnya Until August yang diterbit secara anumerta – terbit pada 2024 selepas sedekad kematiannya.

Maknanya, kuantiti karya bukan pengukur mutlak kepengarangan seseorang penulis.

Setahu saya (betulkan saya jikalau saya silap), tidak ada penulis di Malaysia yang menggabungkan elemen sains perubatan, budaya (terutama negeri Sarawak yang kaya dengan budaya tersendiri) dan unsur magis yang digabung jalin menjadi satu kesatuan ramuan yang asli – Frankie Latit cuba menjadi pelopor kepada gaya tersebut.

Dia sentiasa memberikan kejutan dan kelainan pada karyanya dengan mengambil ilmu-ilmu sains untuk dikaitkan dengan sosiobudaya dan permasalahan masyarakat.

Menerusi cerpen Diagnosa: Reaksi Alergi umpamanya, Frankie menghadirkan ilmu-ilmu bantu iaitu tentang perubatan. Pengalamannya sebagai pengamal perubatan moden telah diserap dalam tema dan persoalan cerpen berkenaan.

Istilah perubatan seperti ‘alergi’ bukan hanya berbentuk tempelan malahan telah menggerakkan keseluruhan cerpen tersebut yakni yang berkaitan dengan masalah kulit.

Masalah tersebut dikaitkan pula dengan masalah fitnah yang menjadi malapetaka kepada negara.

Cerpen ini menjadi semakin padu, padat apabila Frankie persis menjadi jambatan yang menghubungkan cerita rakyat tempatan dengan cerita rakyat luar negara seperti melalui watak Pinochio.

Frankie menghasilkan karya yang berbeza – persis ada interteks, antarbudaya – juga pastinya pengamatan dan latar yang berbeza.

Pembaca dikerah dan diperah mindanya untuk mengesan keistimewaan dan kelainan cerpen Frankie Latit tatkala mengaitkan ilmu perubatan dengan pelbagai cerita termasuk cerita tradisi timur dan barat.

Sememangnya kebijakan dan kepekaan khalayak sastera begitu diuji tatkala menekuni cerpen-cerpen Frankie.

Untuk mengenali seseorang penulis, kita juga perlu mengetahui buku-buku yang dibaca oleh penulis berkenaan.

Frankie mengintimi karya-karya penulis antarabangsa – sebelum kewujudan Shoppe lagi untuk saya, Frankie dan Abizai membeli buku melalui kenalan Facebook saya dari Indonesia.

Kami membeli buku-buku terjemahan di sana atas prinsip kepercayaan – jikalau ditipu … yah, pasti kami tidak boleh berbuat apa-apa!

Namun disebabkan hasrat dan tekad untuk meningkatkan kualiti karya, kami lakukan semua perkara tersebut.

BERITA LAIN

Fadillah ucap Selamat Hari Bapa

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, hari ini mengucapkan Selamat Hari Bapa yang disambut hari ini kepada semua insan yang bergelar bapa.

Pelihara kepelbagaian warisan negara

PEREDARAN zaman yang semakin kompetitif ketika ini dilihat memberi kesan ketara ke arah terhakisnya khazanah budaya masyarakat majmuk di negara ini. Andai kata tiada inisiatif

Penting kerjasama kumpulan

PIHAK kaunselor pelatih Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengadakan program bina jati diri melibatkan 25 pelajar di Sekolah Menengah Al-Amin Kuching, Sabtu lalu. Inti pati

Lokasi wajib dikunjungi di Sibu

SIBU ialah salah sebuah bandar di Sarawak yang menarik dengan kepelbagaian budaya, warisan dan terkenal dengan sejarah masyarakat Cina. Banyak sejarah Sarawak berkait rapat dengan

BERITA TERBARU

Zii Jia juara Terbuka Australia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meraih gelaran kedua musim ini selepas  merangkul kejuaraan Terbuka Australia 2024 dengan menewaskan wakil Jepun

Faisal Halim ibarat pecahan yang hilang — Nidzam

KUALA LUMPUR: Suasana emosi menyelubungi bilik persalinan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila pemain sayap sensasinya Mohamad Faisal Abdul Halim menjejakkan kaki buat