SEBUYAU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan membantu mendapatkan balai bomba untuk kawasan Sebuyau.
Beliau berkata akan mengemukakan perkara itu kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, kerana ia amat diperlukan di daerah itu.
“Biar mula kecil dulu, yang penting ada lori yang membawa air sebab kita tidak mahu di kawasan Sebuyau dan juga kawasan sekitarnya dimangsakan apabila berlaku kebakaran.
“Saya tidak mahu bila bomba datang, media melaporkan bomba memadamkan api dalam tempoh tiga minit tapi perjalanannya tiga jam,” katanya ketika berucap pada Program Santuni Rakyat di Dewan Terbuka SK Haji Bujang, Sebangan, di sini hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata akan mengusahakan agar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) turut diwujudkan di Sebuyau.
“Saya fikir bukan balai polis tetapi IPD yang diperlukan kerana Sebuyau telah dinaik taraf sebagai daerah penuh,” ujarnya.