Keperluan mangsa banjir mencukupi

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak telah menyediakan 13 pangkalan hadapan bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah membuat semua persediaan termasuk penyediaan makanan kering dan keperluan penempatan kepada mangsa banjir.

Menurutnya, pangkalan hadapan diwujudkan bagi membantu mangsa banjir yang jauh dari kawasan penyediaan makanan agar mereka sentiasa mendapatkan bekalan makanan dengan segera.

“Justeru, kementerian telah mewujudkan 13 pangkalan hadapan membabitkan kawasan berisiko tinggi mengalami banjir iaitu di Kuching, Miri, Bintulu dan Kapit.

“Dalam membuat persediaan keperluan bekalan makanan kering di pangkalan hadapan, kerajaan telah memperuntukkan RM195,000 untuk membiayai keperluan mangsa banjir nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Geran kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe), Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Daerah Kuching, pada Sabtu.

Jelas Fatimah, JKM juga memperuntukkan sejumlah RM400,000 kepada masyarakat untuk bantuan kemudahan dan peralatan asas.

“Oleh itu, peruntukan yang telah disediakan tersebut bagi membeli barangan keperluan untuk mangsa banjir yang telah diletakkan di depo agensi kerajaan di Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan.

“Antara barangan yang telah disediakan untuk mangsa banjir seperti tilam, bantal, selimut, tikar, tuala, lampin pakai buang dan set kebersihan diri,” jelasnya. Sebagai sebahagian daripada ahli JPBNS, beliau melalui JKM juga komited menyediakan bantuan kepada mangsa kebakaran, tanah runtuh, banjir dan kemarau.

“Bagi persiapan menghadapi banjir, pusat pemindahan mangsa yang sudah dikenal pasti merupakan perkara yang paling diutamakan.

Makanan juga perkara penting untuk mangsa banjir tersebut. “Namun, untuk persiapan banjir kali ini, JPBNS juga memutuskan bahawa sukarelawan dan mangsa banjir tidak dibenarkan memasak.

“Bekalan makanan yang sudah dimasak akan disediakan kepada mereka dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Selain itu, bagi menghadapi banjir, terdapat 548 sukarelawan bersedia untuk memberikan khidmat kepada mangsa banjir.

“Sukarelawan kebajikan sememangnya sudah bersedia untuk memberikan bantuan kepada masyarakat bukan sahaja ketika banjir, namun dari segi bantuan lain juga,” katanya.

Mengulas mengenai penyambungan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) beliau berkata, JPBNS akan mengadakan mesyuarat dalam masa yang terdekat dalam memutuskan sama ada PKPB akan dilanjutkan ataupun akan ditamatkan