Keperluan sekolah Cina tidak diabai

SARIKEI: Bidang pendidikan khususnya dalam kalangan masyarakat Cina sentiasa mendapat perhatian kerajaan di bawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, usaha itu terbukti apabila Kerajaan Sarawak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selain memberi peruntukan kepada sekolah persendirian Cina. Malah katanya, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa memberikan sokongan melalui peruntukan khas kepada sekolah Cina pada setiap tahun.

“Peruntukan sebanyak RM10 juta disalurkan kepada 14 sekolah menengah persendirian Cina pada 2021.

Kerajaan tidak mengabaikan keperluan institusi pendidikan itu.

“Dalam perkembangan berkaitan, Sekolah Menengah Ming Lik, sekolah persendirian Cina di Repok turut mendapat peruntukan tersebut.

Bagi pihak Sekolah Menengah Ming Lik, saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Abang Johari,” katanya kepada Suara Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan, Huang juga meneruskan tradisinya menghulurkan sumbangan barangan keperluan sekolah kepada pelajar kurang berkemampuan di kawasan Repok.

Sumbangan bertujuan meringankan beban ibu bapa menyediakan barang persekolahan untuk anak-anak mereka. Ia merupakan sebahagian komitmen beliau demi memastikan generasi muda di kawasan Repok tidak ketinggalan dalam arus pendidikan.

“Saya menyedari keperitan ibu bapa (menyediakan peralatan persekolahan) kerana saya sendiri pernah berdepan dengan detik sukar sewaktu belajar dahulu.

“Justeru, saya menggesa pelajar agar sentiasa fokus dan tekun menimba ilmu demi membina masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Suara Sarawak