KUCHING: SPRM mengesahkan kepimpinan GPS di bawah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg bersih dan bebas rasuah.

Pengarah SPRM Sarawak Razim Mohd Noor berkata, GPS ada sistem sendiri untuk menguruskan ekonomi negeri ini.

“GPS bersih dan bebas rasuah,” katanya menolak kenyataan Adun Pending Violet Yong yang mendakwa ahli GPS antara individu perlu disiasat SPRM.

Dalam perkembangan sama, Razim mengakui maklumat baharu kes rasuah individu berprofil tinggi telah diserah ke ibu pejabat di Putrajaya.

“Kami sedang menunggu arahan dari Putrajaya untuk tindakan seterusnya.

“Ya, lebih daripada satu jerung terlibat dan berprofil tinggi. Kita akan siasat…tetapi kita tidak boleh dedahkan nama mereka kerana boleh menjejaskan reputasi. Mereka orang penting dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Semarak Pertiwiku di Bangunan Baitul Makmur di sini semalam.

Tambah Razim, sebanyak 50 laporan dakwaan rasuah melibatkan individu berprofil tinggi dan ada antara kes tersebut agak besar.

SPRM Sarawak hanya bertindak sebagai pejabat perhubungan dan ibu pejabat SPRM di Putrajaya akan meneliti semua kes yang dilaporkan dan menentukan klasifikasi.