ARTIKEL

Dr Novel Lyndon

Kepimpinan PKR Sarawak disarankan menyokong kepimpinan GPS tuntut janji dalam MA63, lebih banyak pelaburan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sarawak sewajarnya bersama-sama dengan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) menuntut janji yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Seterusnya mereka harus mengelak perkara yang boleh menjejaskan hubungan baik kedua-dua pihak, itu ditegaskan Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Novel Lyndon.

Beliau berpendapat bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Strategik PKR Sarawak, Iswardy Morni, tentang pihaknya bersedia mencabar GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada masa depan sekiranya diberi lampu hijau, sebagai sesuatu yang tidak sesuai.

Lebih-lebih lagi, katanya, dengan hubungan antara GPS dan PKR dalam Kerajaan Perpaduan yang sangat baik sebagai rakan strategik.

“Beliau (Iswardy) mendakwa GPS bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).

“Saya bersetuju dengan pandangan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang menyatakan bahawa kenyataan tersebut tidak menggambarkan pandangan kepimpinan PKR Pusat.

“Memang benar PH atau PKR bukan bergerak sebagai ahli dalam satu entiti dengan GPS, tetapi mereka merupakan parti yang bersama atau rakan strategik yang bergabung untuk membentuk Kerajaan Persekutuan di bawah nama Kerajaan Perpaduan hasil saranan Yang di-Pertuan Agong.

“Sehubungan itu, pemimpin PKR Sarawak sewajarnya bersama-sama dengan GPS dalam menuntut janji yang terkandung dalam MA63 dan membantu Sarawak dalam pelaburan dan pembangunan fizikal serta sosial agar Sarawak menjadi destinasi utama pelaburan dalam negara dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang kenyataan Iswardy di sini semalam.

Jelasnya, agenda tersebut perlu diutamakan.

“Utamakan agenda rakyat Sarawak dan agenda Sarawak dalam hubungan federalisme.

“Kepimpinan PKR Sarawak sewajarnya bersama-sama dengan GPS untuk membangunkan Sarawak, terutamanya isu berkaitan hak dan bidang kuasa Sarawak dalam hubungan federalisme.

“Ketepikan perbezaan politik dan agenda parti untuk rakyat Sarawak.

“Amat penting menjaga sensitiviti dan perkara yang boleh menjejaskan hubungan baik,” ujarnya.

Bagaimanapun, tegasnya lagi, politik adalah seni tentang sebarang kemungkinan.

“Apabila tiba masanya (pilihan raya), terpulang kepada parti masing-masing untuk bergerak secara berasingan atau bergerak sebagai satu rakan gabungan.

“Namun saya percaya keputusan muktamad terletak di tangan kepimpinan PKR Peringkat Pusat untuk bersama-sama dengan GPS dalam PRN atau PRU.

“Dan saya percaya hubungan baik antara Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pastinya akan menentukan hala tuju kedua-dua parti ini nanti,” tambahnya.

BERITA LAIN

Rujuk status tanah sebelum buat rumah

BINTULU: Penduduk khususnya di rumah panjang perlu merujuk status tanah kepada agensi berkaitan terlebih dahulu, sebelum mendirikan perumahan baharu di kawasan yang dikenal pasti. Menteri

Polis lumpuh sindiket gula-gula getah dicampur dadah

KUALA LUMPUR: Polis melumpuhkan sindiket pengedaran gula-gula getah dicampur dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM5.02 juta dalam serbuan berasingan di Cheras dan Seri Kembangan, semalam.Pengarah

BERITA TERBARU