Kepimpinan Sarawak adil untuk semua kaum – Abang Johari

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus memastikan dasar kepimpinan kerajaan berteraskan ‘mengutamakan Sarawak’ dengan mengambil kira kepentingan semua kaum.

Katanya tiada kaum akan dipinggirkan sama ada dalam aspek pembangunan mahupun pengagihan bantuan, untuk memberikan keadilan kepada semua seperti yang sudah diamalkan selama ini dalam kepimpinan Kerajaan Sarawak.

“Sebab itu dasar kepimpinan kita sejak dulu adalah ‘mengutamakan Sarawak’, bukan mengutamakan kaum kerana kita mahu adil kepada semua…orang Melanau, Bidayuh, Iban, Orang Ulu pun orang kita,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pecah Tanah Wisma Melayu Sarawak di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Muda Perdagangan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Pecah Tanah Wisma Melayu Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais.

Menurut Abang Johari, komitmennya itu jelas apabila bukan sahaja membantu orang Melayu tetapi juga telah memberikan bantuan untuk masyarakat Iban, Bidayuh termasuk Orang Ulu.