Keprihatinan Abang Jo lonjak pembangunan Sarikei

SARIKEI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus memberi tumpuan terhadap aspek prasarana sejajar dengan pelaksanaan pelan pembangunan bersepadu untuk rakyat.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, usaha itu amat penting dalam usaha membangunkan kawasan persisir daripada pelbagai sudut termasuk agro pertanian.

Malah katanya, ia mampu melonjakkan pelbagai potensi ekonomi bahagian ini termasuk pertanian sekaligus memperkasakan lagi peranannya sebagai pengeluar makanan Sarawak.

“Usaha menaiktaraf kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, elektrik dan air mampu meningkatkan pendapatan golongan petani dengan amalan pertanian moden.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga tidak lupa menaiktarafkan prasarana sekolah bagi membolehkan anak-anak muda menimba ilmu dalam suasana yang lebih selesa,” katanya kepada Suara Sarawak selepas menyambut kehadiran ketua menteri di sini, hari ini.

Huang berkata, pembinaan jalan raya Sarikei-Tanjung Manis dan Jambatan Rajang adalah sebahagian komponen pelengkap jalan pesisir yang memperlihatkan komitmen kerajaan Sarawak membawa kemajuan kepada rakyat, terutama di pedalaman dan luar bandar.

Projek itu katanya, membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat.

Ujarnya, kemudahan itu juga dilihat sebagai pelengkap kepada projek Lebuh Raya Pan Borneo yang kini sedang rancak dibina bermula dari Lundu hingga utara Sarawak.

“Sudah pasti projek berimpak tinggi yang menelan kos kira-kira RM300 juta ini menjadi impian dan harapan rakyat khususnya golongan peniaga.

“Justeru, saya mewakili seluruh rakyat Sarikei khususnya di DUN Repok ingin mengucapkan terima kasih kepada Abang Jo yang begitu prihatin dengan keperluan kami di kawasan ini

“Kewujudan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) ini juga salah satu bukti kerajaan amat mengambilberat pembangunan Sarikei. Semoga dengan usaha ini, perancangan kita memajukan kawasan ini berjalan lancar,” katanya.

Dato Sri Huang adalah individu yang bersungguh-sungguh mendapatkan kelulusan pembinaan projek berkenaan.