Keputusan Abang Jo untuk semua parti komponen GPS

KUCHING: Majlis Pergerakan Wanita PBB memberi sokongan penuh terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang membuat keputusan di peringkat Persekutuan.

Ketua Pergerakan Wanita PBB, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Abang Johari yang juga Presiden PBB bersuara untuk semua komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ketua Menteri juga Pengerusi GPS dan kita menyokong penuh pendiriannya.

“Ini kerana etika kita dalam PBB yang taat dan setiap kepada pemimpin parti apabila kini ia diterajui oleh Abang Johari,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha menemui Ketua Menteri untuk mendapatkan sokongan GPS dalam membentuk kerajaan baharu, sekali gus mengetepikan Perikatan Nasional (PN) selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB di Ibu Pejabat PBB di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, usaha Anwar untuk bertemu dengan Abang Johari di Kuching pada 16 Jun lalu tidak berhasil menyebabkan calon Perdana Menteri kesembilan itu hilang sokongan dalam masa yang ditetapkan.

Malah, perkara terbabit disahkan dalam kenyataan bersama antara DAP dan Amanah melalui Pengarah Komunikasi, Khalid Samad dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook.

Menurut kenyataan itu, usaha terakhir Anwar untuk mendapatkan sokongan GPS tidak berjaya dan tempoh masa yang dipersetujui telah pun tamat serta gagal mendapat sokongan mencukupi.