Keputusan mutlak, usah dipertikai

KOTA SAMARAHAN: Sememangnya keputusan Yang di-Pertuan Agong mengenai proklamasi darurat tidak boleh dicabar terutamanya selepas berlakunya percanggahan pandangan antara hakim dua mahkamah pada satu ketika dahulu berhubung intepretasi kuasa agong dalam Artikel 150.

Menurut Penolong Naib Cancelor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman kedua-dua pihak mengemukakan hujah dan pandangan masing-masing yang dilihat mempunyai meritnya tersendiri.

“Bagaimanapun, setelah mengambil kira pelbagai faktor dan pertimbangan terhadap peruntukan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Perlembagaan Persekutuan Artikel 150 itu dipinda semula dengan memasukkan klausa (selepas isu Teh Cheng Poh melawan pendakwa raya dalam satu kes berprofil).

“Keputusan Agong selepas itu ditetapkan supaya tidak boleh dipersoal atau dicabar di mana-mana mahkamah,” katanya. Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak bagi mengulas isu berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong mengiktiraf proklamasi darurat tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah baru-baru ini.

Tambah Fadzil, Artikel 150 (8) jelas memperkukuhkan kenyataan ini. “Dengan demikian, keputusan Yang diPertuan Agong itu juga mutlak dan tidak lagi boleh dicabar.

“Berbalik kepada peruntukan yang ditetapkan di bawah pengisytiharan darurat,  ia turut melibatkan kuasa dan  peraturan yang termaktub di bawahnya atara lain ada menyebutkan pentadbiran persekutuan dan negeri tertakluk di bawahnya  sepanjang perintah darurat berkuat kuasa.

“Berbalik kepada persoalan mengenai sama ada PRN Sarawak dapat dilaksanakan atau tidak, semestinya selama mana perintah darurat berkuat kuasa tiada pilihan raya negeri atau pilihan raya persekutuan dapat dilaksanakan.

“Perkara ini juga digariskan secara spesifik oleh Perdana Menteri semasa pengumuman darurat dibuat bahawa tiada pilihan raya akan dilaksanakan pada 2021,” jelasnya.

Sungguhpun demikian katanya lagi, masih berlaku perdebatan pandangan dan hujah mengenai sama ada boleh atau tidak pilihan raya diadakan semasa darurat dalam kalangan pengamal undang-undang sendiri.  “Umpamanya dengan bersandarkan kepada contoh PRU pertama dan kedua yang diadakan pada 1955 dan tahun 1959 apabila telah dilaksanakan semasa perintah darurat sedang berkuat kuasa.

“Namun, senario pada waktu itu mungkin amat berbeza dengan darurat pada waktu ini baik dari segi status dan senario politiknya mahupun cabaran dan bentuk darurat itu sendiri.   “Biar apapun perdebatannya, perkenan Agong sendiri sudah semestinya mempunyai kaitan langsung dengan nasihat dan pandangan daripada Perdana Menteri,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, semasa  pengumuman darurat dibuat, digariskan bersama dengan secara jelas dan khususnya, pilihan raya antara perkara yang telah diumumkan sebagai salah satu perkara yang diputuskan tidak akan diadakan sepanjang tempoh  proklamasi darurat.

“Maka, jika ia diputuskan sedemikian,  tidaklah perlu lagi perkara berkenaan dibangkitkan.  “Cuma yang perlu dilakukan pada waktu ini untuk menantikan masa dan waktu yang sesuai apabila perintah darurat ditarik balik dan selepas itu parlimen atau Dun dibubarkan. “Setelah itu barulah isu pilihan raya ini dapat dibangkitkan semula,” katanya.

Suara Sarawak