ARTIKEL

Abang Johari pada sesi ‘fireside chat’ di Ibu Pejabat Bank Pembangunan Asia (ADB) di Manila, Filipina, hari ini. FOTO: UKAS

Keputusan pembangunan Sarawak perlu tinggalkan legasi berkekalan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MANILA: Kerajaan Sarawak mahu memastikan setiap keputusan pembangunan yang dibuat hari ini mampu meninggalkan legasi berkekalan dan terus memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan negeri perlu dirancang secara berpandangan jauh dengan mengambil kira perubahan teknologi, keperluan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Apabila kita berada di sini, kita perlu meninggalkan satu legasi yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Abang Johari bercakap pada sesi ‘fireside chat’ di Ibu Pejabat Bank Pembangunan Asia (ADB) di Manila, Filipina, hari ini. FOTO: UKAS

“Perubahan merupakan satu-satunya perkara yang berterusan dan masyarakat perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan serta menjangka perkembangan yang bakal berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘fireside chat’ di Ibu Pejabat Bank Pembangunan Asia (ADB) di Manila, Filipina, hari ini.

Menurutnya, pendekatan berpandangan jauh itu menjadi asas kepada perancangan Sarawak dalam pelbagai sektor termasuk tenaga, teknologi, pengangkutan dan pembangunan ekonomi.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan teknologi baharu dalam pembangunan mungkin melibatkan kos yang tinggi pada peringkat awal, namun kos tersebut berpotensi berkurangan apabila teknologi semakin matang dan cekap.

“Contohnya penggunaan teknologi hidrogen bagi sistem pengangkutan Transit Aliran Autonomi (ART) pada masa ini memang mahal, tetapi mungkin ada teknologi baharu yang akan mengurangkan kos menghasilkan hidrogen.

“Sarawak juga semakin selektif dalam menentukan jenis industri yang mahu dibangunkan atau dibawa masuk ke negeri ini dengan menilai nilai tambah yang mampu diberikan kepada ekonomi,” jelasnya.

Menurutnya, Sarawak perlu memberi tumpuan kepada industri masa depan yang mempunyai ruang untuk berkembang seiring kemajuan teknologi dan bukan hanya memenuhi keperluan semasa.

“Jumlah pelaburan semata-mata tidak seharusnya menjadi ukuran utama, sebaliknya aspek seperti peluang pekerjaan, penggunaan tenaga dan daya tahan teknologi dalam jangka panjang turut perlu dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu katanya, kerjasama strategik dengan ADB penting dalam membantu Sarawak merealisasikan projek berskala besar, khususnya dalam sektor tenaga, teknologi dan pembangunan rendah karbon.

“Idea dan teknologi baharu perlu diterjemahkan kepada projek yang berdaya maju melalui sokongan kepakaran, teknologi serta pembiayaan yang kompetitif.

“Dalam masa yang sama, setiap projek perlu mempunyai asas ekonomi dan teknologi yang kukuh selain berdaya maju dari sudut pembiayaan bagi memastikan pelaksanaannya mampu memberi manfaat dalam jangka panjang,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU