Keputusan permohonan Petronas 23 Jan

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 23 Jan sebagai tarikh bagi membuat keputusan terhadap permohonan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menggugurkan kelayakan seorang pesuruhjaya kehakiman daripada mendengar kesnya terhadap pengawal cukai jualan negeri (SST) dan kerajaan negeri Sarawak.

Tarikh itu ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin selepas mendengar hujah oleh peguam daripada kedu-dua pihak di kamarnya semalam.

Peguam Negeri Sarawak Datuk Talat Mahmud ketika ditemui memberitahu media berkata Petronas menerusi peguam mereka Alvin Chung, memohon supaya Chin digugurkan kelayakan atas alasan bahawa dengan menjadi pesuruhjaya kehakiman, Chin belum disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi, yang bererti dia amat bergantung kepada nasihat perdana menteri.

“Hujah mereka (Petronas) adalah sekiranya dia (Chin) membuat keputusan yang berpihak kepada Petronas, kemudian dia mungkin akan mendapat pengesahannya, namun jika keputusan sebaliknya dia mungkin tidak akan mendapat pengesahan itu,” katanya.

Pada 21 Nov lepas pengawal SST Sarawak dan kerajaan negeri menfailkan writ saman serta tuntutan terhadap Petronas di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, bagi mendapatkan cukai jualan negeri yang belum dibayar oleh syarikat minyak dan gas negara itu kepada Sarawak.

Petronas pula telah memohon satu semakan kehakiman yang antara lain memohon satu deklarasi bahawa seksyen tertentu dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak sebagai ‘ultra vires’ kepada Perlembagaan Persekutuan serta batal dan tidak sah dan perintah certiorari bahawa Notis Penilaian bertarikh 28 Ogos 2019, 7 Okt 2019 dan 13 Nov 2019 dikeluarkan oleh responden pertama Petronas akan dibatalkan serta-merta.

Pada 7 Jan lepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan Pengawal SST dan kerajaan negeri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan memberi kebenaran bagi semakan kehakiman yang dikemukakan Petronas.

Suara Sarawak