Trending

Keputusan SPM Sarawak meningkat, 684 calon dapat gred A dalam semua mata pelajaran

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Seramai 684 calon di Sarawak memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, jumlah tersebut merupakan 2.08 peratus daripada keseluruhan 32,810 calon.

“Ia juga peningkatan sebanyak 0.28 peratus, berbanding 596 calon atau 1.80 peratus yang memperoleh semua gred A pada SPM 2021.

“Malah ramai pelajar yang memperoleh 11A+ di seluruh Sarawak, namun hari ini kita cuma menjemput 10 orang pelajar yang mendapat keputusan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2022 Peringkat Sarawak di SMK Green Road, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya secara keseluruhan pencapaian calon SPM tahun 2022 bagi Sarawak adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Gred Purata Negeri (GPN) tahun 2022 adalah 5.07 berbanding 5.17 pada tahun 2021, iaitu perbezaan sebanyak 0.10 mata.

“Seramai 12,464 calon memperoleh sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 12,547 calon pada 2021,” ujarnya.

Sementara katanya, peratus calon yang layak menerima sijil SPM tahun 2022 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 2.93 peratus, iaitu daripada 88.29 peratus kepada 91.22 peratus.

“Sebanyak 74 atau 56.06 peratus daripada 132 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK), iaitu dalam kalangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) layak memperoleh sijil SPM,” katanya lagi.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru