Keputusan STPM diumum 25 Februari

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 akan diumumkan 25 Februari ini, menurut Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

MPM dalam kenyataan semalam memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing pada tarikh berkenaan mulai pukul 12 tengah hari, manakala calon persendirian pula akan memperolehnya melalui pos.

“Calon juga boleh menyemak keputusan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT jarak no kad pengenalan dan menghantarkannya ke 15888.

“Mereka juga boleh membuat semakan secara dalam talian dengan melayari portal MPM di alamat http://www. mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menambah, tahun lepas 44,823 calon menduduki peperiksaan STPM di 652 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 44,501 atau 99.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta (167 atau 0.37 peratus), manakala calon persendirian (128 atau 0.29 peratus) dan 27 atau 0.06 peratus calon sekolah kerajaan negeri.

Suara Sarawak