Keputusan tepat demi nyawa pelajar

KUCHING: Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membatalkan UPSR dan PT3 merupakan satu keputusan yang tepat, kata Ahmad Mahlie.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) itu berkata, langkah pembatalan tersebut tidak akan menjejaskan kualiti pendidikan tetapi akan lebih menyakinkan mereka untuk meneruskan pembelajaran tanpa ada tekanan daripada pelbagai pihak.

“Kami juga melihat pembatalan UPSR dan PT3 ini akan mewujudkan senario baharu dalam pembelajaran kerana guru tidak perlu terkejar-kejar untuk menghabiskan sukatan pelajaran sebelum peperiksaan dilaksanakan.

“KGBS turut melihat pembatalan UPSR dan PT3 membolehkan murid-murid menikmati pembelajaran yang lebih menyeronokkan selaras konsep didik hibur yang ditekankan dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PDPC) terkini,” katanya di sini, kelmarin.

Tambah Ahmad, pihak mereka juga akur dengan penangguhan peperiksaan SPM, SMV, STPM dan yang setaraf dengannya seperti yang diumumkan KPM pada Rabu. “KGBS yakin KPM telah membuat keputusan yang terbaik dengan mengambil kira pelbagai pandangan hasil sesi perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam pendidikan negara.

“Penangguhan peperiksaan ini membuktikan bahawa KPM prihatin terhadap keperluan dan kesediaan pelajar sebelum mereka menduduki peperiksaan. “Kami menyifatkan ia sebagai peluang kepada murid dalam membuat persediaan secukupnya.

“Ia bukan sahaja persediaan dari segi kandungan akademik tetapi juga kesediaan dari segi mental dan emosi selepas pelajar berkurung di rumah sepanjang PKP,” jelasnya.

Beliau menyatakan, secara keseluruhan strategi pasca-PKP tidak akan menimbulkan sebarang kerugian kepada murid-murid kerana KPM telah mengambil tindakan alternatif dan proaktif bagi menangani isu yang timbul. “Contohnya KPM berbincang dengan KPT mengenai tarikh baharu kemasukan murid ke IPT atau kolej tahun ini ke tahun hadapan.

“Justeru kami menggesa masyarakat khususnya ibu bapa perlu menerima senario pendidikan negara kita pasca-Covid-9 ini secara terbuka. “Kita akur dengan kesan Covid19 ini bukan sahaja ke atas cara hidup dan kesihatan kita malah ia juga membawa impak yang besar kepada arena pendidikan di negara ini,” tegasnya.

Terdahulu, KPM mengumumkan pembatalan UPSR dan PT3 pada 15 April lepas dan dikuatkuasakan kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan manamana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM. Bagaimanapun, bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini.

Suara Sarawak