Keputusan untuk mengakhiri #PKP perlu dibuat berhati-hati – MIER

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk mengakhiri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang kini berada dalam fasa ketiga, perlu dibuat dengan teliti dan disampaikan secara langsung kepada orang ramai, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Ahli Kumpulan Pembiayaan Kesihatan MIER, Kahlil Anwar berkata keputusan itu harus dibuat berdasarkan kepada data saintifik.

“Wabak seperti ini bukanlah sesuatu perkara yang kita boleh ramal apa yang akan berlaku seterusnya, mungkin tiba-tiba muncul satu kluster baharu yang belum dijangka.

“Kerajaan perlu mengambil pendekatan yang proaktif dengan melihat kesan jangka panjang dan keperluan segera untuk membenarkan perniagaan tertentu kembali ke domain awam, serta melindungi komuniti yang berisiko,” katanya melalui sidang akhbar dalam talian mengenai Laporan Unjuran Ekonomi Nasional MIER 2020/2021 hari ini.

Semasa fasa pertama PKP, peningkatan harian kes-kes baharu adalah sebanyak 10.7 peratus, dan ia menurun kepada 4.31 peratus semasa fasa kedua, jatuh lagi kepada 1.31 peratus dalam fasa semasa.

Pengerusi MIER Tan Sri Datuk Dr Kamal Salih ketika mengulas mengenai trajektori COVID-19 memberitahu sekiranya kedudukan kes sekarang ini berkekalan sehingga 28 April, ia memberi petunjuk kemungkinan keluk wabak ini tidak berubah dan mencerminkan impak positif daripada PKP.

Sekiranya kerajaan terus mengekalkan sekatan, kesan negatif ke atas ekonomi akan menjadi lebih buruk.

“Sebelum ini, kami telah menganggarkan bahawa sebarang lanjutan PKP selama dua minggu sejak 14 April akan menyebabkan penguncupan ekonomi sebanyak dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sebaliknya, pembukaan ekonomi secara pra-matang (tanpa protokol pembendungan yang ketat), boleh membawa kepada risiko penyebaran semula. Ini bukan perkara yang mudah untuk kerajaan,” katanya.

Sementara itu, MIER menjangkakan fasa ketiga PKP akan dilonggarkan secara beransur-ansur selepas ia berakhir pada 28 April, walaupun mengekalkan langkah-langkah yang ketat seperti enam keperluan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Ia menambah pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur dalam tempoh enam bulan akan datang, mampu mengurangkan kesan negatif yang diramalkan bagi tahun ini. – Bernama

Suara Sarawak