Kerajaaan hargai sumbangan wanita dalam pertumbuhan ekonomi, kemakmuran Sarawak

BINTULU: Kerajaan Sarawak akan terus menyokong segala aktiviti berkaitan anjuran wanita samada secara langsung maupun tidak langsung.

Menteri Utiliti Datuk Sri Stephen Rundi Utom berkata kerjasama berterusan juga akan terus diperkukuh dan dikekalkan ke arah memastikan kemakmuran dan perpaduan masyarakat akan terus terpelihara.

Berucap merasmikan sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Sebauh anjuran Sarakup Indu Dayak Sarawak Cawangan Kemena di Sebauh, beliau berkata golongan wanita hari ini menggalas tanggungjawab besar yang bukan sahaja menjawat jawatan penting dalam pelbagai sektor,

Sebaliknya, turut memikul tugas dan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri selain bergiat cergas dalam pelbagai organisasi dan pertubuhan.

Malah, katanya lagi, kejayaan serta kemenjadian seseorang anak khasnya tidak akan dapat dicapai sekiranya tidak didukung oleh wanita yang bergelar ibu sekaligus menegaskan peranan wanita menyumbang dalam banyak perkara secara langsung dan tidak langsung.

Justeru sambutan Hari Wanita membawa seribu pengertian sebagai pengiktirafan atas pengorbanan dan perjuangan wanita generasi terdahulu yang menjadi sumber aspirasi wanita generasi masa kini, ujarnya.

Rundi yang juga ADUN Kemena turut menyifatkan sambutan Hari Wanita pada setiap tahun di peringkat kebangsaan atau negeri merupakan dedikasi untuk wanita Malaysia khususnya wanita di Bintulu.

Sambutan(Hari Wanita),ujarnya, sebagai simbolik pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan wanita terhadap pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemakmuran negara selaras dengan tema tahun ini “Sarawak Women in Safety and Security – In Good Hands.

Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, Pengerusi SIDS Cawangan Kemena Jenny Bangga, Pegawai Khas kepada Ahli Paimen Bintulu Steven Kong Kai Seng hadir sama.

Lebih 500 orang menghadiri Majlis ringkas sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Sebauh yang turut memberi pengiktirafan kepada tiga tokoh wanita di atas sumbangan mereka dalam bidang masing-masing.

Turut diadakan juga saringan kesihatan, jualan hasil pertanian seperti sayur- sayuran, kraftangan rotan, senamrobik, ceramah kesihatan dan kepolisian, pertandinga Ratu Kebaya Ibu serta cabutan bertuah.

RASMI… Rundi bersama kenamaan lain memotong kek simbolik merasmikan sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Sebauh.

 

TAHNIAH… Rundi menyampaikan hadiah kepada salah seorang Tokoh Wanita sempena sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Sebauh.

 

WANITA BOLEH… Rundi mengabadikan gambar bersama golongan wanita yang hadir pada sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Sebauh.