Kerajaan AS diserang penggodam siber

WASHINGTON: Kerajaan AS kelmarin mengesahkan rangkaian komputernya dilanda serangan siber, apabila The Washington Post melaporkan sekurang-kurangnya dua jabatan termasuk Perbendaharaan menjadi sasaran penggodam Rusia.

“Kami sedang bekerjasama dengan rakan agensi kami mengenai aktiviti yang baharu ditemui pada rangkaian kerajaan,” kata jurucakap bagi Agensi Keselamatan Siber dan Keselamatan Infrastruktur (CISA).

CISA menyediakan bantuan teknikal kepada entiti yang terjejas sementara mereka berusaha untuk mengenal pasti dan mengurangkan kemungkinan kesan.

Menurut laporan Post, penggodaman itu mempunyai kaitan dengan serangan minggu lalu ke atas firma keselamatan siber FireEye, yang menyatakan pertahanannya sendiri diceroboh oleh penyerang canggih yang mencuri peralatan digunakan untuk menguji sistem computer pelanggan.

FireEye menyatakan ia mengesyaki serangan itu ditaja oleh kerajaan.

Sementara itu, laporan media AS menyatakan FBI sedang menyiasat kumpulan yang bekerja untuk perkhidmatan perisik asing Rusia, SVR, dan pencerobohan itu berlaku selama berbulan-bulan.

Kumpulan sama juga dilaporkan menggodam agensi Kerajaan AS semasa pentadbiran Obama.

“Kerajaan Amerika Syarikat mengetahui tentang laporan ini dan kami mengambil semua langkah yang diperlukan untuk mengenal pasti seterusnya menyelesaikan sebarang kemungkinan isu berkaitan dengan situasi ini,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Ullyot. – AFP