Kerajaan berhak lindungi integriti

KUCHING: Walaupun menerima kritikan membina, Kerajaan Sarawak berhak mengambil langkah-langkah untuk melindungi integritinya daripada sangkaan motif yang tidak wajar dan percubaan untuk mengelirukan serta memalukan kerajaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Sarawak akan melihat kepada implikasi terhadap artikel bertajuk The Budget that never was and never will be yang diterbitkan dalam akhbar tempatan baru-baru ini.

Uggah yang juga Menteri Kewangan Kedua membidas kenyataan Adun Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh baru-baru ini yang mempersoalkan kemampuan Kerajaan Sarawak untuk membiayai proram BKSS. Katanya lagi, Soon Koh turut memberitahu bahawa tidak ada dana luar jangka diluluskan bagi tahun 2020.

“Sungguh membingungkan apabila melihat seseorang yang telah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan Kedua selama 15 tahun tidak peka kepada sistem kewangan negeri apatah lagi mekanisma kewangan yang beliau telah sokong sebelum meletak jawatan setahun lalu.

“Saya tidak percaya bahawa Yang Berhormat Bawang Assan memilih untuk mengelirukan orang awam bahawa tiada peruntukkan simpanan luar jangka dalam Bajet 2020,’’ katanya pada dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dun Sarawak ke-18, semalam.