KUCHING: Dasar yang diperkenalkan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah banyak memberi manfaat kepada golongan belia di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, ia termasuk membantu golongan muda untuk membeli rumah pertama melalui Skim Bantuan Deposit Perumahan Sarawak.
“Saya bimbang dengan kos sara hidup yang tinggi, belia yang baharu berkahwin sukar untuk membeli rumah terutamanya apabila perlu membuat pembayaran deposit untuk pembelian rumah.
“Justeru, kerajaan negeri menyediakan satu dasar membantu golongan ini dengan menanggung deposit RM10,000 kepada mereka bagi rumah berharga RM300,000 ke bawah.
“Pada 2022 kita memperuntukan RM10 juta bagi bayaran deposit kepada golongan muda yang membeli rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Belia Sarawak @ Satok yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah di sini, hari ini.
Menurutnya, Sarawak yakin dapat meneruskan dasar tersebut hasil daripada sumber pendapatan yang diperoleh negeri bagi membolehkan golongan belia membeli rumah dengan ansuran bulanan lebih rendah.