Kerajaan GPS terbaik untuk belia

SARIKEI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus melaksanakan pelbagai pendekatan bagi memperkasakan peranan golongan belia selain memastikan mereka berupaya menjadi penyumbang dalam pembangunan.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, langkah positif itu membuktikan kerajaan melaksanakan pembangunan seimbang dengan tidak mengenepikan kepentingan belia.

Kerajaan hari ini katanya, merupakan kerajaan terbaik yang mampu memartabatkan golongan belia dalam segenap aspek.

“Pelbagai kemudahan yang kita sediakan juga menjadi platform terbaik buat belia dalam meningkatkan ketrampilan mereka dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi,” katanya ketika bersarapan bersama belia di Taman Selera Kampung Seberang Sarikei, hari ini.

Beliau yang juga ADUN N.41 Kuala Rajang mengingatkan golongan muda khususnya di Kuala Rajang agar menggunakan medium digital ke arah yang lebih membina dan memberikan manfaat.

Len Talif menikmati sarapan pagi bersama belia di Taman Selera Sarikei.

Katanya, Instagram, Twitter dan Facebook merupakan platform media sosial yang sangat terkenal dan diminati ramai bagi tujuan berkomunikasi, berhubung dan berkongsi semua perkara termasuk yang bersifat peribadi.

Biarpun, komunikasi digital itu menjadi semakin penting ujarnya, medium yang ditawarkan media sosial boleh menjadi platform untuk menyebarkan tindakan tidak bermoral, ruang untuk mempromosi, propaganda, kebencian dan juga penyebaran pembohongan.

“Sememangnya tidak boleh kita nafikan ada baik dan buruknya media sosial ini tetapi amat bergantung kepada cara kita menggunakannya.

Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan agar jangan menyalahgunakan media sosial untuk menyebar atau menyampaikan sesuatu maklumat yang tidak benar.

“Tindakan seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya boleh diibaratkan menyimbah minyak ke dalam api yang sedang membakar,” katanya.

Beliau menambah, media sosial seperti Whatsup, Facebook, Twitter dan sebagainya jika disalah guna amat buruk kesannya terhadap masyarakat.

Malah katanya, maklumat palsu jika disebar atau dikongsikan boleh memberi kesan negatif terhadap sesuatu isu yang diketengahkan.

“Justeru adalah lebih baik jika kelebihan media sosial digunakan untuk sesuatu yang lebih berfaedah, meningkatkan sosio ekonomi sekaligus menyumbang ke arah kebaikan masyarakat,” tambahnya.

Program santai merapatkan hubungan pemimpin dan belia.