ARTIKEL

Kerajaan komited cari jalan naikkan gaji penjawat awam sebelum akhir tahun ini – PM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PERMATANG PAUH: Kerajaan akan mencari jalan dan berusaha menaikkan gaji penjawat awam sebelum akhir tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata berita baik untuk penjawat awam akan diumum dalam tempoh beberapa bulan lagi dengan memberi bayangan selewat-lewatnya ketika pembentangan Belanjawan 2025.

“Duit (kerajaan) tiada bukan salah orang kampung, bukan salah pekerja tetapi salah pengurusan kerajaan, pimpinan terutama yang sakau. Sementara hendak betulkan salah mereka yang sakau, kita tidak boleh bebankan orang bawah.

“Jadi, dengan cara apapun, kita kena cari jalan naikkan gaji penjawat awam sebelum akhir tahun ini. Masa Belanjawan, dengar dari mula sampai akhir sebab saya tidak beritahu bila saya akan umum,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024 di Universiti Teknologi MARA Kampus Permatang Pauh hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata semua pimpinan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan juga sepakat dalam soal gaji penjawat awam.

Sebelum ini, Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas mengumumkan bahawa Sistem Saraan Perkhidmatan Awam akan dilaksana sepenuhnya mulai 2025.

Menyentuh cadangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), Anwar membidas kerajaan terdahulu kerana tidak melakukannya dengan cara yang betul.

“Di Malaysia, draf pindaan akta perlu diluluskan Jemaah Menteri, dipersembah kepada Majlis Raja-Raja Melayu, Majlis Raja-Raja akan bincang dengan teliti, bawa balik dengan draf perundangan, bawa kepada Peguam Negara dan patah balik kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

“Belum dilakukan, jangan temberang. Tidak benar sama sekali. Majlis Raja-Raja Melayu belumpun teliti draf undang-undang itu,” kata beliau.

Justeru itu, Anwar berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar akan meneliti cadangan pindaan berkenaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan berbincang dengan semua mufti, ulama serta sangar-sangar Islam di dalam dan luar negara supaya undang-undang tersebut mantap sebelum dibawa kepada Majlis Raja-Raja.

“Kalau undang-undang ini dibuat sambil lewa, undang-undang lemah, orang akan hina Islam dan undang-undang Islam kerana salah dan gopohnya pemimpin-pemimpin Islam,” kata beliau.

Pada Februari lepas, Mohd Na’im berkata sesi libat urus bagi meminda rang undang-undang 355 kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dibentang di Parlimen tahun ini.

Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan kit makanan kepada golongan asnaf serta pelajar.

-Bernama

BERITA LAIN

Polis buru 10 ahli kumpulan jenayah terancang

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan 10 individu disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di sekitar Selangor. Pengarah Jabatan Siasatan

BERITA TERBARU

Projek pembangunan giat dijalankan di sekitar Debak

SARIBAS: Beberapa pembangunan di kawasan sekitar Daerah Kecil Debak telah dipergiat bagi memastikan kawasan tersebut terus menikmati kemajuan. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti