ARTIKEL

Kerajaan komited lindungi kesucian Islam dan keharmonian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja membuktikan Kerajaan Perpaduan komited melindungi kesucian Islam di samping memperkuatkan perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata ia juga memberi peluang untuk memperkemaskan lagi dasar sedia ada berkaitan penggunaan kalimah itu selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha kerajaan itu (persembahkan cadangan) membuktikan Kabinet tidak berkompromi dalam mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan undang-undang atau enakmen berkaitan agama Islam di negeri-negeri.

“Ini akan menjadikan penguatkuasaan terhadap penggunaan kalimah-kalimah tertentu yang hanya boleh digunakan oleh orang Islam dapat diperkemaskan dan dikuatkuasakan dengan sebaiknya,” katanya kepada Bernama.

Beliau yakin apabila kerajaan membentangkan dokumen mengenai cadangan berkenaan, pengkuatkuasaannya akan lebih tegas dan jelas tanpa mengetepikan hak serta kebebasan individu bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing.

“Kita tidak boleh menafikan mungkin ada kelonggaran dalam penguatkuasaan oleh pihak yang diberikan kuasa. Jadi melalui cadangan itu nanti, Kabinet akan beri teguran dan nasihat kepada mereka (pihak berkuasa).

“Kerajaan berada dalam ’track’ yang betul untuk membetulkan kekeliruan dan bukti ada kebebasan orang bukan Islam mengamalkan agama masing-masing, tetapi juga ‘amaran’ bahawa mereka (bukan Islam) tak boleh sebarkan agama (mereka) kepada orang yang tak sepatutnya,” katanya.

Sebelum ini Kabinet telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan sentiasa mempertahankan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara Tiga yang memaktubkan agama Islam sebagai agama Persekutuan manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Ia merupakan antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam berhubung keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’.
Pada 15 Mei lepas, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU