KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu mendapatkan gambaran sebenar daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berkaitan cabaran penggunaan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh sokongan pembangunan usahawan di negeri ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, setiap maklum balas, isu dan cabaran yang dihadapi PKS amat diperlukan kerajaan bagi membantu membangunkan sektor berkenaan.
“Sebentar tadi, Christopher Ng ada menyatakan bahawa semua peserta perlu mengimbas kod QR dan berkongsi pengalaman, isu serta cabaran mereka dalam menjadi usahawan.

AI SAMENTA 2026 dan Dialog Kerajaan-Industri Cawangan Sarawak.
“Saya berharap data anda dapat dikongsikan kepada kami agar kami dalam kerajaan dapat melakukan sesuatu dan bekerjasama membangunkan PKS mengembangkan ekonomi, terutamanya di Sarawak dan Malaysia amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Hyperlokal Festival AI SAMENTA 2026 dan Dialog Kerajaan-Industri Cawangan Sarawak di Auditorium Sarawak Skills, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi SAMENTA Cawangan Sarawak Theophilus Wong dan Setiausaha Agung Kebangsaan serta Pengerusi Digitalisasi dan AI SAMENTA, Christopher Ng
Ripin berkata, teknologi membantu mengubah cara perniagaan beroperasi, membangunkan modal insan, menjangkau pelanggan dan bersaing.
Katanya, AI adalah sebahagian daripada perubahan itu, namun penggunaannya dalam kalangan usahawan dan PKS perlu dilaksanakan secara praktikal.




