KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, Kerajaan Persekutuan memperkenalkan cukai barangan mewah pada Belanjawan 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia perlu kerana kerajaan harus mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang mempunyai kemampuan.
“Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah.

“Antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah dan segala-gala mewah itu harus dicukai sepatutnya.” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam hal berlainan katanya, kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun ini.
“Dalam keadaan rakyat terbanyak masih susah, inflasi makanan melebihi lima peratus dan kadar upah yang masih rendah, maka ternyata saat ini bukanlah ruang dan masa yang sesuai untuk memperkenalkan dan melaksanakan GST,” jelasnya.