Kerajaan permudahkan urusan rakyat dapat bantuan Sarawakku Sayang – Huang

SARIKEI: Bantuan yang disalurkan kerajaan negeri melalui pakej Sarawakku Sayang melegakan rakyat tatkala tertekan dengan penularan wabak Covid 19.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, bantuan yang disalurkan itu memberikan manfaat kepada semua peringkat secara langsung mahupun tidak langsung.

Malah katanya, ia membantu rakyat khususnya mereka yang kehilangan sumber pendapatan dan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita amat berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang meluluskan pelbagai bentuk bantuan untuk rakyat.

Malah, Pakej Bantuan Khas (BKSS) Sarawakku Sayang mengembirakan ramai peniaga kecil. Sehubungan itu, saya menyeru mereka yang belum memohon agar segera mengemukakan permohonan bantuan yang bernilai RM1,500 itu, ” katanya.

Beliau berkata, bagi memudahkan rakyat, Majlis Daerah Sarikei (MDS) membuka Kaunter Setempat MDS di Jalan Layang-layang bermula 9.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari sejak 21 April lalu.

Kaunter bergerak itu katanya, juga akan dibuka di Taman Selera Baji Jaya bermula 9.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari pada 28 April dan Perpustakaan Jakar, 9.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari pada 30 April.

“Pusat Khidmat N.45 Repok juga membuka kaunter permohonan di Pusat Khidmat, Jalan Rumbia dari 9.00 pagi sehingga 11.30 pagi untuk membantu penjaja mendaftar dan mengisi borang permohonan.

“Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang memberi manfaat kepada setiap golongan termasuk orang awam, Perusahaan Kecil dan Serdehana (PKS), Perusahaan mikro, penjaja, peniaga kecil, kakitangan perubatan barisan hadapan, anggota polis dan lain-lain lagi,” katanya.