SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kekal stabil dan kukuh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi serta keyakinan pelabur tidak terjejas.
Beliau berkata kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat adalah baik dan diterjemahkan menerusi kelancaran mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan secara konsisten walaupun bersaing di peringkat negeri.
“Di peringkat negeri mungkin ada isu tetapi di peringkat pusat belum lagi, dan mudah-mudahan insya-Allah, kekal selepas pilihan raya.
“Baru-baru ini, saya bermesyuarat Jemaah Menteri bersama-sama (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) Datuk Seri Mohamad Sabu, (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke, (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan lain seperti biasa… kita perlu jaga kestabilan ini supaya ekonomi negara jangan tergugat, dan pelabur terus datang,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Jelajah Kekal Harapan di Senawang di sini malam ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, yang berlangsung 1 Ogos. – bernama






