SIBURAN: Adun Tarat Datuk Roland Sagah Wee Inn memohon Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik perkhidmatan di kawasan Siburan.
Menurutnya, perkara tersebut juga susulan daripada kelulusan Daerah Kecil Siburan menjadi Daerah penuh oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini.
“Keadaan ketika ini kurang memuaskan kerana jika dilihat di bahagian Serian mempunyai banyak agensi Persekutuan tetapi tidak mempunyai pejabat sendiri.
“Jadi, kita berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat meneliti perkara ini supaya setiap agensi dapat menumpukan perhatian kepada sesebuah kawasan sahaja,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Muda Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Baucer Pakaian Seragam Sekolah Dun Tarat di Dewan Kampung Beratok, di sini, hari ini.
Sementara mengulas mengenai Bajet 2022 untuk Sarawak, katanya jumlah itu masih rendah jika dibandingkan dengan apa yang disumbangkan oleh Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.
“Saya masih belum melihat secara menyeluruh Bajet 2022 ini, bagaimanapun saya masih tidak berpuas hati kerana Sarawak diberikan bantuan sebanyak RM4.6 bilion.
“Jumlah ini masih kecil, padahal sumbangan kita kepada Kerajaan Persekutuan jauh lebih banyak,” katanya.
Terdahulu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu memaklumkan bahawa sebanyak RM4.6 bilion diperuntukkan kepada Sarawak untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik dan jalan raya serta kemudahan pendidikan dan kesihatan.