Kerajaan pertimbang insentif khas untuk sukarelawan barisan hadapan – Mohd Redzuan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada barisan hadapan anggota sukarelawan negara melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan seumpamanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata ini kerana jasa dan pengorbanan mereka dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19.

“Mereka ini adalah wira yang tak didendang yang turut bekerja keras tetapi tidak nampak pada mata kasar. (Misalnya) APM berfungsi melibatkan pertahanan, peperangan, kecemasan, kemalangan dan bencana. Ketika ini, keanggotaan APM ialah 6,500 dan jumlah sukarelawan lain yang aktif sebanyak 100,000 anggota.

“Kerajaan gerakkan mereka untuk membantu orang awam dari pelbagai aspek termasuk menasihatkan serta menerangkan mengenai normal baharu.

“Kerajaan amat hargai jasa mereka, insyaAllah kerajaan sedang berbincang untuk memberi insentif kepada mereka (APM dan sukarelawan lain) dan menunjukkan kita memandang tinggi atas khidmat mereka kepada masyarakat. Keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat sebelum raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata meskipun berdepan pelbagai cabaran, anggota APM dan sukarelawan lain dilatih untuk sentiasa bersedia menguruskan bencana atau kecemasan.

“Kerajaan sediakan pegawai APM terlatih di pusat kuarantin dan jumlah kini mencapai hampir 1,000 anggota. Kebajikan dan keselamatan mereka juga diutamakan dengan pembekalan kelengkapan ketika berkhidmat,” katanya.