Kerajaan Sarawak agih bantuan bekalan makanan kepada 73,000 isi rumah terjejas PKP di Sibu

SIBU: Kerajaan Sarawak memperuntukan RM5.1 juta untuk bantuan bekalan makanan yang diagihkan di Bahagian Sibu.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari berkata, ia ekoran Bahagian Sibu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula 16 Januari hingga 29 Januari ini.
“Bahagian Sibu merangkumi tiga daerah iaitu Sibu, Selangau dan Kanowit, serta 11 kawasan dewan undangan negeri.
“Susulan dengan penguatkuasaan PKP di Bahagian Sibu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Kecil telah bermesyuarat pada 18 Januari 2021 untuk merangka strategi bagi menyelaras pengagihan bekalan makanan bagi penduduk di Bahagian Sibu yang terjejas dengan penguatkuasaan PKP bagi mengawal peningkatan kes positif Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung program bantuan makanan untuk rakyat yang terkesan dengan PKP di Sibu bagi mengawal penularan Covid-19 hari ini.

 
Tambah Abang Johari, berdasarkan maklumat awal daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu, Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas di Bahagian Sibu adalah dianggarkan berjumlah 73,000.
“Di peringkat bahagian, JPBB Sibu akan bekerjasama dengan Pegawai-Pegawai Daerah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum/Kapitan, JKKK dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengenal pasti KIR penerima yang memerlukan bantuan makanan.
“Peruntukan bagi pembelian bahan makanan asas akan disalurkan kepada JPBB Sibu untuk tujuan pengagihan makanan yang dibantu oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sibu, JPBD Selangau dan JPBD Kanowit,” jelasnya.
Antara bantuan yang diagihkan ialah beras, gula, tepung, sardin, teh, kopi, minyak masak, biskut kering dan mi segera.
“Kerajaan Negeri turut kerjasama dengan KPDNHEP akan memastikan stok makanan asas mencukupi.
“Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) juga sedang mengagihkan bekalan makanan asas dan keperluan lain seperti susu, lampin pakai buang dan tuala wanita kepada kira-kira 700 keluarga, yang melibatkan 3,800 orang/ahli keluarga di 32 buah rumah panjang,” ujarnya.
Abang Johari turut memberitahu, makanan bermasak juga diagihkan kepada 52 pertugas barisan hadapan di sebuah pusat kuarantin dan 46 petugas barisan hadapan yang bertugas untuk mengawal selia sekatan jalan raya di empat lokasi.

Suara Sarawak