
PADAWAN: Kerajaan Sarawak akan mengambil alih pusat peranginan Puncak Borneo dan membangunkan kawasan tersebut sebagai pusat pelancongan.
Menteri Pelancong, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, konsesi membabitkan pengendali pusat peranginan itu dibatalkan ekoran tidak dapat memenuhi sepenuhnya perjanjian sebelum ini.
Malah katanya, Kerajaan Sarawak juga kecewa apabila pusat peranginan itu tidak dibangunkan oleh syarikat tersebut yang seharusnya menjadi destinasi pelancongan warga tempatan dan luar.
“Ekoran itu, pada tahun lepas kerajaan telah membatalkan perjanjian pembangunan melalui Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dengan syarikat itu.

“Saya tidak boleh beritahu lebih lanjut, tetapi sebaliknya kerajaan ada perancangan yang terperinci mahu membangunkan tempat itu sebagai pusat peranginan yang menarik,” katanya kepada media selepas merasmikan pertandingan tarian tradisional, Festival Mistik Bidayuh Dewan Parish St Paul Kampung Bunuk, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi yang juga Penaung Persatuan Segu Bunuk Penrissen (PSBP) Datuk Willie Mongin.
Tambahnya, terdapat perancangan untuk membangunkan pusat peranginan seluas 5,000 ekar itu untuk pelancongan dan petanian moden sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung pusat peranginan Puncak Borneo diletakkan di bawah Agensi Pembangunan Greater Kuching, Abdul Karim berkata, perkara itu akan dilihat secara mendalam.
“Ia boleh diletakkan kerana ada peruntukan yang banyak untuk pembangunan.
“Jika kabinet mahupun Premier Sarawak mahukan ia diletakkan di bawah kementerian saya. Saya gembira untuk menjaganya,” ujarnya.
