KUCHING: Selain mewujudkan Taman Sahabat hampir 20 tahun lalu, Kerajaan Sarawak dan China boleh membangunkan platform dalam talian seperti akses kepada perkhidmatan penting untuk mendekatkan rakyat kedua-dua negara.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee berkata, Sarawak menghargai hubungan baik yang saling menguntungkan dengan China selama ini apabila memperingati persahabatan mesra dengan Negara Tembok Besar itu menerusi pembinaan Taman Sahabat di Kuching.

Menurutnya kini hampir 20 tahun, taman itu masih dikunjungi ramai menandakan persahabatan Sarawak dan China yang tidak berbelah bahagi.
“Justeru dalam mendekatkan rakyat kedua-dua negara dan mempromosikan lawatan antara bandar, Kerajaan Sarawak dan China boleh meneroka perkhidmatan menyediakan kemudahan kepada pelawat melalui keseragaman dan integrasi perkhidmatan.
“Caranya, memacu pembangunan platform dalam talian yang membolehkan akses kepada perkhidmatan penting, maklumat, bantuan dan panduan pelbagai bahasa.
“Misalnya tapak web dan pusat panggilan kerajaan tempatan kita boleh dioptimumkan untuk menjadi bermaklumat, intuitif dan membantu bukan sahaja penduduk tempatan tetapi rakan dari luar negara,” katanya ketika sesi pertama perhubungan pada Minggu ASEAN-China 2023.
Bagi Sarawak jelasnya, satu lagi contoh adalah penggunaan aplikasi e-dompet Kerajaan Sarawak S Pay Global sebagai platform yang paling banyak digunakan di Sarawak yang mana merupakan penyepaduan platform pembayaran antarabangsa pertama dan satu-satunya dengan kad maya UnionPay.
“Ini membolehkan pengunjung yang datang ke Sarawak terutamanya dari China mempunyai pengalaman pembayaran yang lancar,” ujarnya.