KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Persekutuan sepakat untuk meningkatkan ekonomi digital dan menaiktaraf fasiliti telekomunikasi di seluruh Malaysia, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.
Beliau memberitahu ia adalah intipati utama yang dibincangkan bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa kunjungan hormat beliau pagi semalam.
“Sebanyak 636 tapak menara telekomunikasi dikenal pasti dan telah dibina dengan kelengkapan fasiliti di seluruh Sarawak menerusi Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) melibatkan kos RM4 bilion bagi fasa pertama untuk pembinaan 60 menara.
“Fasa kedua pula melibatkan kos tidak melebihi RM1 bilion bagi tujuan pembangunan 681 tapak projek Point of Presence (PoP) di Malaysia,” ujarnya semasa ditemui media usai lawatan kerja di sini, semalam.
Dalam kunjungan hormat berasingan bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi dan Timbalannya, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi turut memaklumkan tentang inisiatif kerajaan Sarawak membina Sarawak Smart Tower Project sebanyak 600 buah.
Katanya, ia bagi membantu kerajaan pusat mencapai sasaran pembinaan 7,000 buah menara telekomunikasi di Malaysia untuk menambah baik rangkaian internet berkelajuan 4G dan 5G kepada penduduk negeri ini.
“Malah sebanyak 133 buah Pusat Ekonomi Digital (PEDi) telah dibina di Sarawak bagi menampung keperluan rakyat antara lain sebagai galakan untuk penduduk di kawasan pedalaman terlibat dalam aktiviti perniagaan atas talian ataupun e-dagang,” ujarnya.