KUCHING: Sebanyak 63.6 peratus remaja 16 dan 17 tahun menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19 manakala 2.1 peratus lagi adalah remaja berusia 12 hingga 15 tahun dengan rekod komorbiditi.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, seramai 61,271 remaja 16 dan 17 tahun yang telah disuntik dengan vaksin Covid-19 daripada populasi keseluruhan mereka 96,400.
“Sementara itu, 3,981 lagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun telah disuntik dengan dos pertama vaksin Covid-19 daripada populasi mereka 192,800.
“Dengan angka terkini ini, sebanyak 78.8 peratus keseluruhan rakyat Sarawak telah menerima suntikan vaksin Covid-19 termasuk golongan remaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Majma Mall di sini hari ini.
Abang Johari menambah, golongan remaja ini selesai divaksin sebelum pembukaan sekolah yang dijadualkan pada 3 Oktober depan.
“Justeru, saya ingin beterima kasih kepada ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 serta para guru yang memberi sokongan kepada anak-anak murid mereka ketika menerima vaksin,” ujarnya.