Kerajaan Sarawak hormati Kerajaan Persekutuan, beberapa perkara Sarawak perlu buat keputusan sendiri

KUCHING: Kerajaan Sarawak menghormati keputusan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan tetapi tidak semua keputusan dibuat oleh Putrajaya sesuai untuk dilaksanakan di Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak adalah sebuah wilayah yang hampir sama besar dengan tanah Semenanjung dan kadang-kala, dengan kekangan sumber dan infrastruktur, agak sukar untuk pihak berkuasa Sarawak melaksanakan keputusan yang dibuat di peringkat Persekutuan.

“Contoh yang jelas ialah kaedah kepada proses pemberian vaksin yang membolehkan rakyat kita di luar bandar diberi suntikan vaksin dahulu kemudian barulah didaftar di dalam aplikasi MySejahtera kerana kita akur bahawa sukar bagi penduduk di rumah-rumah panjang dan kampung untuk mendaftar dan mengakses MySejahtera.

“Ruang yang membolehkan kita membuat keputusan sesuai dengan keperluan Sarawak juga telah membolehkan kita mengambil langkah-langkah yang telah mempercepatkan proses pemberian vaksin di Sarawak,” katanya dalam perutusan Hari Sarawak hari ini.

Tambah Abang Johari, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, terutamanya pihak industri, telah menubuhkan pusat pemberian vaksin di tempat-tempat kerja dan juga penubuhan pasukan-pasukan begerak untuk menjangkau kepada mereka yang tidak dapat datang ke pusat-pusat vaksin.

“Pihak tentera juga membantu di kawasan-kawasan luar bandar.

“Alhamdulliah, dengan semua langkah ini Sarawak adalah antara negeri yang terpantas dalam program pemberian vaksin dengan lebih daripada 60 peratus daripada rakyat dewasa sebanyak 2.2 juta telah menerima dos pertama,” jelasnya.

Suara Sarawak