ARTIKEL

Abang Johari (tengah) merakam kenangan bersama tetamu kehormat lain pada Majlis Ulang Tahun Ke-160 Persatuan Teochew semalam. - Foto: UKAS

Kerajaan Sarawak ingin tingkatkan kerjasama dengan China bangunkan teknologi tenaga bersih

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak mencari lebih banyak peluang kerjasama dengan Kerajaan China bagi memacu pembangunan teknologi tenaga bersih.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memberitahu Kerajaan Negeri sedang giat mendapat pelaburan daripada syarikat China untuk membangunkan pengangkutan awam di Sarawak.

“Dari segi teknologi, kita juga menerima teknologi China berasaskan sains.

“Kita kini membina pengangkutan awam kita menggunakan teknologi China, seperti Transit Aliran Autonomi (ART) dan kemudian projek-projek hidro.

“Kita mendapat bantuan kejuruteraan dan teknikal dari China, dan sekarang Sarawak terkenal dengan kekuatannya dalam tenaga hidro,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ulang Tahun Ke-160 Persatuan Teochew di sini pada semalam.

Sementara itu, Premier Sarawak berkata, kaum Teochew telah menjalankan perniagaan dan perusahaan komersial bagi membangunkan komunitinya, namun mereka tidak melupakan kepentingan pendidikan.

“Kaum Teochew telah menubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kuching dan itu adalah kunci untuk Sarawak bergerak ke hadapan.

“Saya mengambil ini sebagai satu model. Kalau Sarawak ingin bangkit dan berdaya saing, rakyat Sarawak mesti berdisiplin penuh dengan latar belakang pendidikan yang relevan,” ujarnya.

Pada majlis sama, beliau juga meluluskan peruntukan sebanyak RM160,000 bagi SMK Tinggi Kuching untuk menambah baik kemudahan di sekolah tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Xing Weiping, Presiden Persekutuan Persatuan Teochew Malaysia, Lin Jia Guang, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai, dan Presiden Persekutuan Cina Sarawak, Datuk Richard Wee.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU