Kerajaan Sarawak komited bangunkan sektor pendidikan

SARIKEI: Peruntukan besar yang disalurkan untuk membantu meringankan beban ibu bapa melalui bantuan pakaian seragam membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, setiap tahun Yayasan Sarawak memperuntukan sebanyak RM4juta bagi melaksanakan program berkenaan.

Bantuan itu katanya, meliputi kira-kira 40,000 pelajar yang layak di seluruh Sarawak.

“Di bahagian Sarikei sahaja, kira-kira RM300,000 diagihkan bagi tujuan yang sama. Ia merangkumi seramai 166 orang pelajar di Kuala Rajang, 366 pelajar di kawasan Repok, 35 Meradong dan 13 Pakan,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak, di Pusat Inovasi Sarikei (SIC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak tetap akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan pembangunan pendidikan di negeri ini.

Len Talif dan jemputan yang lain mengabadikan beramai-ramai bersama pelajar yang menerima Baucer Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak, di Pusat Inovasi Sarikei (SIC) di sini, hari ini.

Malah penubuhan Kementerian Pendidikan, Sains dan PenyelidikanTeknologi (MESTR) katanya, menjadi bukti jelas betapa serius Kerajaan Sarawak meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti kepada setiap lapisan masyarakat.

Pada masa yang sama ujarnya, Yayasan Sarawak sejak 1971 melaksanakan pelbagai program pendidikan untuk memastikan setiap anak Sarawak, terutama daripada keluarga kurang berkemampuan berpeluang meneruskan pendidikan sehingga peringkat tertinggi.

“Pelbagai bantuan pendidikan diberikan dengan perbelanjaan berjuta ringgit setiap tahun. Maknanya, tidak ada alasan kepada mana-mana ibubapa yang mengatakan anak mereka tidak boleh bersekolah semata-mata kerana tidak cukup belanja,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang mengingatkan ibu bapa supaya tidak meletakkan sepenuh tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pihak sekolah sebaliknya perlu bekerjasama bagi memastikan perkembangan dan pendidikan mereka tidak terjejas.

“Sikap tersebut perlu dikikis untuk memastikan ilmu yang dicurahkan dapat diterjemahkan dengan sebaiknya.

“Dalam urusan penggunaan baucer bantuan pakaian seragam Yayasan Sarawak pula, saya ingin mengingatkan peniaga supaya jangan mengambil kesempatan, mengaut keuntungan yang tidak munasabah melalui program ini.

“Pihak ibubapa wajar memeriksa dahulu pakaian supaya setimpal dengan nilai baucer dan pilih pembekal yang menawarkan kualiti barangan terbaik setimpal dengan nilai RM200.00 pada baucer tersebut,” jelasnya.

Hadir sama Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua, wakil Pengarah Yayasan Sarawak,
Watson Chunggat Leonard Doo, Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau Unting dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Faustino Frederick.

Len Talif menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan tetamu yang lain.

Suara Sarawak