ARTIKEL

Ripin (tengah) membunyikan loceng ketika menyempurnakan majlis perasmian kejohanan itu.

Kerajaan Sarawak komited pastikan pembangunan sukan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) serta Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) sentiasa menyokong dan mendokong usaha-usaha persatuan sukan untuk menganjurkan kejohanan bertaraf dunia di wilayah ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, menegaskan bahawa sektor pelancongan sukan di Sarawak telah dikenal pasti sebagai salah satu platform penting dalam memacu ekonomi Sarawak dengan menyumbang pendapatan kepada pemain-pemain industri seperti perhotelan, makanan, pengangkutan dan sebagainya.

“Untuk makluman, pada tahun 2024, MTCP meletakkan sasaran kedatangan seramai empat juta pelancong ke Sarawak, dan menurut statistik semasa, sebanyak RM3.07 bilion berjaya dijana pada suku pertama tahun 2024 daripada sektor pelancongan.

“Saya percaya jumlah itu akan meningkat pada suku kedua, ketiga dan seterusnya kerana banyak program telah disusun atur oleh MTCP hingga penghujung tahun ini,” ujar Abdul Karim.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, pada Majlis Perasmian Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak 2024, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Naim Paragon Street Mall, Bintulu malam tadi.

Tegasnya, bagi memacu sektor pelancongan sukan, MTCP dan MYSED sentiasa bekerjasama untuk menganjurkan pelbagai kejohanan sukan bertaraf dunia di Sarawak seperti muaythai, tenis, tinju, tenpin boling dan banyak lagi.

Terdahulu, beliau turut mengalu-alukan kedatangan atlet muaythai dari seluruh Malaysia selain dari tujuh negara luar, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia (Kalimantan), Filipina, Thailand, Iran, Sudan dan Morroco.

Kejohanan tiga hari itu menghimpunkan lebih 200 atlet muaythai mewakili pelbagai kelab tempatan dari Bahagian Kuching, Kota Samarahan, Serian, Bintulu, Bau, Miri, Sibu dan Semenanjung Malaysia.

Hadir sama pada majlis itu malam tadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, Setiausaha Tetap MYSED, Morshidi Frederick, Ketua Penolong Setiausaha MTCP, Nasir Lariwoo, Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Awang Putrayursie Awang Redzuan, Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim, dan ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.

BERITA LAIN

280 individu sertai Larian Amal Rakyat 2.0

KUCHING: Seramai 280 individu telah menyertai program Larian Amal Rakyat 2.0 yang berlangsung semalam. Program larian tersebut anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah

BERITA TERBARU