BINTANGOR: Pembinaan loji pusat rawatan air Temadak Fasa II di sini, menjadi bukti kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memastikan penduduk daerah ini memperoleh bekalan air yang mencukupi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Meradong, Datuk Ding Koung Hiing, berkata, loji baharu itu secara tidak langsung dapat mengurangkan gangguan bekalan air di daerah Meradong dan sekitarnya.
Menurutnya, langkah proaktif itu juga menyediakan penduduk dengan sumber air yang berkualiti bagi menampung keperluan harian.
“Kekurangan air bersih merupakan permasalahan utama yang dihadapi rakyat termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong. Masalah ini menimbulkan kesulitan kepada penduduk kerana terputus bekalan air atau bekalan tidak menentu.
“Sehubungan itu, kita sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikannya termasuklah dengan membina loji rawatan air Temadak II,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke tapak loji itu, semalam.

Beliau memberitahu, loji baharu menambah keupayaan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bintangor menyediakan bekalan air bersih dengan kapasiti 15 juta liter perkapita sehari berbanding hanya 10 juta liter perkapita sehari sebelum ini.
Sehubungan itu katanya, contoh air bersih yang diproses di loji itu akan dihantar ke Jabatan Kimia Sibu dalam tempoh terdekat untuk dianalisa.
“Pada masa yang sama, saya akan cuba mendapatkan kerjasama Kementerian Utiliti Sarawak, supaya dapat membantu kita menaiktaraf saluran paip air sedia ada. Langkah ini amat penting bagi menyelesaikan masalah kebocoran yang merupakan satu punca utama gangguan bekalan air di kawasan ini.
“Saya berharap dengan bekalan air baharu ini, segala permasalahan isu bekalan air bersih bagi kawasan sekitar Bintangor dapat diselesaikan,” katanya.
Hadir sama, Pegawai Daerah Meradong, Badjuri Bidin, Pegawai JBALB Bahagian Sarikei, Ir Chieng Ghin Wei, ahli Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) dan pemimpin masyarakat.



