ARTIKEL

Kerajaan Sarawak lulus lebih RM150 juta bina projek fasa kedua Tebingan Sungai Tambirat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ASAJAYA: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan lebih RM150 juta untuk melaksanakan pembinaan projek fasa kedua Tebingan Sungai Tambirat, dekat sini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pembinaan projek tersebut melibatkan jarak 1.2 kilometer dan bersambung dengan tebingan sungai fasa satu hingga ke hujung Kampung Tambirat.

RAKAMAN KENANGAN… Abdul Karim (berdiri tengah) merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat dan ahli jawatankuasa pelaksana program.

“Projek tebingan kedua yang akan dilaksanakan di Kampung Tambirat ini juga telah mendapat kelulusan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dengan peruntukan lebih RM150 juta.

“Kita juga mahu ia dilengkapi dengan ruang atau laluan pejalan kaki, supaya ia dapat menjadi kawasan perniagaan penduduk kampung sekali gus kawasan tarikan pengunjung,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutupan Aspirasi Serumpun Seni Budaya Melayu bertemakan Sarung@Tradisional di Pusat Penjaja Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Tambirat, di sini, hari ini.

Tambahnya, projek tebingan sungai fasa pertama di Tambirat sedang giat dilaksanakan ketika ini dan menelan kos lebih RM20 juta.

“Projek ini juga melibatkan pembinaan astaka yang besar yang menghadap kedua kawasan iaitu ke sungai dan di sebelah darat. 

“Ia akan dapat membantu untuk kita mengatur pelbagai program bulanan atau mingguan, terutama sekali acara Regata Tambirat yang mana saya mahu ia menjadi salah satu daripada regata terbesar di Sarawak,” ujarnya.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU