Kerajaan Sarawak serius memartabatkan pendidikan

SARIKEI: Sarawak mempunyai haknya yang tersendiri dalam menentukan arah tuju masa depan bidang pendidikan di negeri ini.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, Kerajaan Sarawak dibawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melakukan rombakan kecil kabinet dengan mewujudkan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi.

Katanya, keputusan mewujudkan kementerian khusus bukan bermakna Sarawak mendahului peranan kerajaan pusat sebaliknya membuktikan betapa seriusnya kerajaan ingin memartabatkan pendidikan dalam kalangan generasi muda.

“Ini merupakan sebahagian inisiatif kita untuk menjadikan Sarawak sebagai m negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 atau mungkin lebih awal daripada itu.

“Terbaharu, kita turut menekankan penggunaan Bahasa Inggeris memandangkan generasi muda hari ini kurang menguasai bahasa asing tersebut walaupun sudah mengenggam diploma dan ijazah,” katanya pada majlis pelancaran program Jerayawara Pendidikan Yayasan Sarawak di Dewan Serbaguna St Anthony, semalam.

Beliau berkata, rakyat Sarawak bernasib baik kerana kerajaan mengiktiraf kejayaan anak-anak dengan menyediakan hadiah galakan menerusi Yayasan Sarawak.

Menurutnya, penerima menerima sijil simpanan premium bernilai RM500 (SPM) dan RM700 (STPM) selain sijil penghargaan.

Ujarnya, pengiktirafan itu merupakan satu penghargaan yang tinggi di atas kegigihan dan kesungguhan hingga berjaya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik masing-masing.

“Program ini juga mampu memberikan impak yang positif kepada pelajar dalam usaha kita memberikan kesedaran kepada mereka tentang pilihan dan peluang yang ada untuk pelajar melanjutkan pelajaran masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Kuala Rajang memberitahu, pada 2018, bahagian Sarikei mencatatkan peningkatan yang cukup membanggakan daripada 20 orang pada tahun 2017 telah meningkat kepada 200 orang pada tahun 2018.

Katanya, ia satu kejayaan yang menakjubkan dan membanggakan apatah lagi dengan kedudukan Sarikei yang masih dianggap sebagai kawasan luar bandar namun mampu menunjukkan prestasi yang begitu cemerlang.

“Kejayaan ini memberikan gambaran bahawa peranan daripada semua pihak sama ada pelajar, guru dan ibubapa sendiri memainkan peranan besar dan kesedaran mengenai peri pentingnya pendidikan,” tambahnya.

Len Talif bersama pelajar dan guru dalam program Jerayawara Yayasan Sarawak di SMK St Anthony.

 

Len Talif menyampaikan sijil cemerlang kepada salah seorang penerima.

 

Ketibaan Len disambut meriah.

Suara Sarawak