Kerajaan Sarawak terus perkasa potensi Sarikei – Betong sebagai pengeluar makanan

SARIKEI: Potensi besar Sarikei sebagai pengeluar makanan wilayah tengah Sarawak akan terus diperkasakan selaras dengan matlamat untuk meningkatkan taraf dan sosial ekonomi rakyat khususnya di kawasan pedalaman.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, langkah proaktif itu bakal memberi manfaat besar kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang.

Melalui pendekatan itu katanya, kerajaan bukan sahaja membangunkan sektor pertanian tetapi juga infrastruktur asas yang amat diperlukan oleh rakyat terutama di kawasan pesisir Sarawak.

“Kita mahu bahagian Sarikei hingga Betong menjadi pengeluar makanan bukan hanya untuk Malaysia tetapi juga luar negara.

“Bagaimanapun bagi mencapai hasrat itu, kita harus membangun prasarana penting seperti jalan raya yang menjadi penghubung kepada rakyat selain memudahkan mereka untuk mengeluarkan hasil pertanian,” katanya pada majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di sini, hari ini.

Beliau memberi jaminan kerajaan akan terus komited menaiktaraf sistem perhubungan sebagai rangkaian logistik yang mampu membantu merancakkan lagi pembangunan terutama di kawasan pesisir.

Katanya, antara prasarana yang sedang dalam pembinaan termasuklah Jambatan Muara Lassa, Jambatan Paloh dan Jalan Pasi yang menghubungkan Sarikei dengan Tanjung Manis.

“Pada masa yang sama, kita tidak lupa untuk membekal dan menaiktaraf kemudahan lain seperti bekalan air dan elektrik.

“Tidak dapat dinafikan, Sarawak meraih pelbagai kejayaan sejak 65 tahun lalu dan kita akan terus mengorak langkah bagi mencapai hasrat sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Sehubungan itu, saya mengesa rakyat agar terus bersatu dan memberikan sokongan penuh agar perjuangan kita dapat diteruskan,” katanya.

Majlis jamuan teh sempena sambutan diserikan dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan hiburan.

Dalam pada itu Ketua Menteri turut menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan kepada beberapa penerima termasuk bayi yang baru dilahirkan.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS, Abdullah Saidol, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikon dan ADUN N.45 Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii.