
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia untuk berunding dengan masyarakat tempatan berhubung cadangan mengisytiharkan kawasan hutan di Lawas sebagai Hutan Lindung Ulu Trusan (UTPF).
Rundingan tersebut bagi menentukan kawasan hutan yang perlu dikeluarkan dan dipelihara serta mengakui hak penduduk tempatan.
Menurut Adun Ba’Kelalan Baru Bian, ia susulan wujudnya satu petisyen ditandatangani oleh lebih 1,000 masyarakat Lun Bawang yang membantah cadangan pengisytiharkan kawasan hutan tersebut sebagai UTPF.
“Petisyen tersebut sudah diserahkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini dengan kehadiran Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS) Robin Lusong.
“Ia merupakan bantahan daripada masyarakat tempatan susulan tanah mereka akan terjejas oleh UTPF sekiranya cadangan berkenaan diteruskan.
“Ketua Menteri menerima petisyen ini dan menunjukkan bahawa kerajaan bersedia untuk berunding dengan rakyat,” katanya selepas menyerahkan petisyen tersebut, di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Zaidi Mahdi dan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad yang turut bersetuju untuk melibatkan diri bersama masyarakat tempatan dalam menyelesaikan isu tersebut.