KUCHING: Kerajaan Sarawak memutuskan meneruskan “Jejak, Uji, Kuarantin dan Isolasi” apabila terdapatnya kes positif dan mengekalkan tempoh kuarantin 14 hari bagi mereka yang memasuki Sarawak untuk mengelakkan lebih banyak kes yang diimport.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sejak Januari, polisi kuarantin 14 hari telah mengesan 60 kes positif yang kembali dari luar negara (Import A) dan 270 kes positif yang kembali dari negeri lain (Import B).
“Mereka semua telah di kuarantin di hotel,” katanya pada sidang media Penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 bertemakan “Kita Berjaya Sebelum Ini, Kita Dapat Melakukannya Lagi” di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Pada masa sama, Abang Johari berkata telah mengarahkan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela untuk mengetatkan kawalan perjalanan rentas daerah.
Katanya ia kerana pergerakan rentas antara daerah juga merupakan penyumbang utama penularan Covid-19.
“Setakat ini, terdapat 506 kes positif yang dikesan dan lapan kluster muncul kerana perjalanan rentas antara daerah (Import C) sejak Januari 2021.
“Oleh itu, mulai hari ini, hanya perkhidmatan penting yang dibenarkan melintasi zon dengan kebenaran polis,” katanya.
Abang Johari menambah sebab-sebab lain yang menyebabkan peningkatan kes juga berkaitan dengan kurangnya pematuhan SOP terutamanya melalui perhimpunan sosial.
Jelasnya sehingga kini, perhimpunan seperti pengebumian telah merekodkan 3,612 kes positif dari lapan kluster, dengan 31 kematian.
Tambahnya perhimpunan lain seperti perjumpaan keluarga, pesta ulang tahun, pesta perpisahan, perjumpaan sempena perayaan, acara seperti gotong-royong dan laga ayam (sabung ayam) telah mengakibatkan 22 kluster, 1053 kes positif dan lima kematian.