KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia menyumbangkan anjing sebagai pertambahan anjing pengesan dadah kepada agensi berkaitan di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata persetujuan itu diterima sebagai langkah dan usaha kerajaan negeri untuk membantu aktiviti pencegahan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, setakat ini sistem ‘parcel’ merupakan taktik utama pembekal mengedar dadah kepada pembeli.
“Kerajaan Sarawak sanggup membeli atau menghadiahkan anjing namun pihak kerajaan persekutuan yang perlu menjaganya serta menyediakan pengurus haiwan terbabit.
“Pusat-pusat ini sepatutnya diselenggarakan oleh kerajaan pusat serta dari segi pembayaran gaji petugas yang menguruskan haiwan-haiwan itu nanti,” katanya dalam sidang media di Dewan Mulu, bangunan Baitul Makmur II hari ini.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan tiga lokasi utama iaitu di Tabuan Melayu, Matang dan Bekenu merupakan lokasi panas kegiatan penyalahgunaan dadah.
Tambahnya, seramai 258 individu setakat tahun ini berjaya ditahan di lokasi panas terbabit.
Daripada jumlah tahanan tersebut, beliau menegaskan terdapat dalang iaitu tokan-tokan dadah mendiami atau menjalankan aktiviti di situ.
Selain itu, dedahnya situasi perumahan yang agak padat, susun atur kediaman atau kawasan perumahan yang tidak dibekalkan infrastruktur jelas antara punca tiga kawasan itu menjadi tumpuan gejala dadah.