Kerajaan S’wak selangkah ke hadapan tangani integriti

KUCHING: Kerajaan Sarawak berada di hadapan dan serius dalam memartabatkan integriti seterusnya membendung gejala rasuah dalam masyarakat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha ini dipelopori oleh pemimpin terdahulu dan diperkukuh lagi oleh pemimpin hari ini.

Menurutnya, antara tindakan awal Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung isu ini ialah mewujudkan portfolio Integriti dan Ombudsman untuk membentuk budaya integriti di negeri ini.

Katanya, inisiatif lain ialah menubuhkan Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (Union), Latihan Pegawai Integriti
Bertauliah (CeIO), Penyediaan Pelan Pengurusan Rasuah (CRM) dan Strategi Pengurusan Antirasuah 37001:2016.

“Sentiasa menjadi visi Sarawak untuk membina negeri yang telus dan bebas rasuah dalam Malaysia.

“Usaha padu ini mendapat sambutan baik kerana beberapa inisiatif Kerajaan Sarawak menjadi penanda aras oleh negeri-negeri lain seperti penubuhan Unit Integriti di Jabatan Ketua Menteri dan penempatan pegawai kanan
SPRM di JKM,” katanya ketika merasmikan Seminar Liabilit Korporat Pengurusan Rasuah di sebuah hotel di sini, semalam.

Seminar itu dianjurkan oleh Pusaka, GRM Training Sdn Bhd dan SPRM.

Beliau juga berkata, Pusaka mengorak langkah melancarkan beberapa inisiatif dalaman dalam membendung rasuah.

Pusaka kata Awang Tengah, mempunyai dua CeIO yang menjalani latihan pada 2019 dan sehubungan itu, Bahagian Integriti akan diwujudkan yang diketuai oleh salah seorang CeIO tersebut.

Jelasnya, prosedur CRM akan didokumenkan dan program kesedaran juga akan dikendalikan bagi semua kakitangan yang berkhidmat dalam anak syarikat Pusaka.

Awang Tengah yang juga Pengerusi Pusaka berharap kesemua syarikat kecil memberi kerjasama penuh dalam melaksanakan inisiatif antirasuah.

“Usaha ini memberi manfaat kepada semua pihak dan kita akan berjaya dan mencapai visi membina Sarawak yang berbudaya integriti dalam mencapai negara telus dan bebas rasuah,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, Pusaka juga merupakan GLC pertama yang mengendalikan seminar serupa ini.