Shield Sahran

SHIELD SAHRAN berasal dari Kuching, Sarawak. Mula melibatkan diri dengan penulisan pada 2004 menerusi pertandingan menulis cerpen peringkat sekolah menengah. Seterusnya, menceburkan diri dalam penulisan di akhbar tempatan pada 2014. Beberapa karya beliau diterbitkan bersama DBP, FIXI, Lejen Press, SYFE Management, Nusa Centre, Komuniti Buku Karya Johor, Pekasa, Gapeniaga, Unisza dan Penulis. Merupakan penerima Hadiah Sastera Penulis Sarawak 2020/ 2021 kategori cerpen dan Hadiah Penghargaan Gapena 50 Tahun kategori cerpen
GULA-GULA kapas pahit.
Aku kira begitulah permulaannya, dengan aku memikirkan semula mengapa gula-gula kapas yang sepatutnya manis menjadi pahit.
Gula-gula kapas yang dilahirkan seperti kepulan awan di langit ialah sejenis manisan yang digemari anak-anak kecil, gadis genit yang mahu bermanja dengan sang kekasih dan juga kelompok manusia sunyi seperti aku.
Mencicip gula-gula kapas sambil memintal kenangan zaman kecil.
Falsafah gula-gula kapas ini bermula apabila aku menonton televisyen di ruang tamu rumahku dan berita melaporkan bahawa keadaan ekonomi dunia sangat tidak menentu.
Kemudian, terbit pula berita ribut menyerang, banjir menerjah, api menjilat hutan belantara. Aku tertegun di depan televisyen sambil berkata pada diri sendiri-
“Dunia sekarang sudah gila…”
Selepas menonton berita sedemikian, aku rebah di atas kerusi sambil membelek-belek telefon pintar.
Aku enggan melayan kisah buruk dalam masyarakat, aku lebih suka melayani kejayaan manusia lain, nasihat berguna dan juga hal yang aku fikir memberi kebaikan untuk aku.
IMPIAN
Dunia akhir zaman begini, aku tak mahu dipengaruhi oleh perkara yang tidak baik.
Melihat orang ke Tanah Suci, orang kaya membuat amal jariah dengan anak-anak yatim, kisah anjing tersepit diselamatkan, aku berasa sangat kagum.
Malah, setiap kali aku berkumpul dengan rakan-rakan di kedai kopi, sementara menunggu perlawanan bola sepak bermula, aku akan berkata kepada mereka: “Aku kalau dah kaya macam pemain bola sepak luar negara, aku tak takutlah nak bagi derma juta-juta. Kesian tengok anak-anak pelarian, entah apa yang mereka makan masa ni.”
Begitulah, aku memikirkan bagaimana harus aku menjadi manusia yang benar-benar manusia.
Akhirnya, aku terlelap di atas sofaku sambil menganyam mimpi yang baik-baik belaka.
* * *
Pagi menjelang dan aku terkocoh-kocoh bergerak ke perhentian bas.
Aku memilih menaiki kenderaan awam pada pagi ini kerana ada tugasan penting yang perlu diselesaikan pada pagi itu dan aku mahu mengurangkan penggunaan kereta.
Untuk apa kenderaan awam dicipta jika warga kota tidak memanfaatkan? Ia kerugian dan kebodohan yang nyata.
Ketika aku tergesa-gesa, keadaan pagi yang begitu dingin menjadikan hidungku tidak selesa dan aku sangat memerlukan sepeket tisu, sekurang-kurangnya.
Kemudian, muncul budak perempuan bertudung sarung yang aku rasa usianya mungkin dalam sekitar 10 tahun.
Tangannya kurus sehingga menampakkan jalur urat berselirat, langsung menghulurkan sepeket tisu kepadaku. Aku sebagai manusia yang berperikemanusiaan pun segera menyeluk poket untuk mencari duit, tetapi budak perempuan tersebut menggeleng-gelengkan kepala.
“Tak apa, saya bagi. Abang tak sihat.”
Kemudian, kulihat budak perempuan itu berlari ke arah wanita pertengahan usia yang galak berniaga.
Budak perempuan itu menyambung semula pekerjaannya iaitu membantu menjual belon, gula-gula kapas, tisu dan banyak makanan serta minuman ringan yang menurut aku selaku editor majalah kesihatan, lebih banyak mudaratnya daripada manfaatnya.
Lantas, dengan sehelai tisu yang kutarik dari peketnya aku pun mengesat hidungku sambil berkata pada diri sendiri: “Ah, inilah masalah hidup masyarakat sekarang.
Ambil mudah dengan keperluan perut.
Kesian anak-anak pelarian, berusaha nak selamatkan nyawa. Orang di sini, sambil lewa.
Makanan ringan juga yang dijual. Sedihnya dengan ekonomi sekarang.”
Namun, budak perempuan itu kelihatan gembira membantu meniaga makanan dan minuman ringan.
Aku hanya terus memerhati dari bingkai jendela bas sehinggalah roda bas bergerak dan pergi meninggalkan perhentian bas.
PERKARA BAIK
Tisu pemberian budak perempuan itu kusumbat ke dalam beg dan seperti biasa, aku menatap skrin telefon pintar lalu membaca kisah positif yang memberi inspirasi dan juga tip kesihatan yang memberi kebaikan padaku.
Ya, hari ini aku mahu mulakan segalanya dengan perkara yang baik-baik.
Begitulah, hari berlalu begitu sibuk dengan kerja lapangan yang banyak serta pelbagai lagi isu membosankan di tempat kerja.
Setelah segalanya selesai aku kembali semula ke perhentian bas dan bersedia mendapatkan keretaku yang diparkir di tempat letak kereta.
Namun, aku terasa amat penat dan tanpa sedar aku hampir termuntah kerana mual.
Ketika aku duduk di bangku perhentian bas untuk berehat seketika, sekali lagi budak perempuan yang memberi aku sepeket tisu datang menghulur sepeket lagi tisu berserta sekotak air minuman soya.
“Nah, untuk abang. Mak suruh bagi,” ujar budak perempuan berkenaan.
“Tunggu sekejap, abang nak bayar,” sahutku lalu menyeluk poket tetapi budak perempuan itu cepat-cepat menggelengkan kepala.
“Tak apa, saya bagi.”
Kemudian aku melanjutkan kata-kataku, tetapi belum sempat aku bersuara, budak perempuan itu berlari meninggalkan aku.
Seterusnya, aku melihat sebungkus gula-gula kapas yang tidak laku dijual diberi di tangannya, mungkin sebagai upah membantu berniaga.
Hanya dengan gula-gula kapas itu, senyuman terukir indah di wajah budak perempuan itu.
Aku mendapati, bibirku juga ikut tersenyum. Aku terkenang zaman kanak-kanak dengan semuanya polos dan percuma.
* * *
Kipas siling berpusing dengan nyamannya tetapi aku duduk di ruang tamu dengan perasaan jengkel. Jengkel dengan hal di pejabat, sehingga terbawa-bawa ke rumah dan aku muak dengan urusan dunia yang sedikit sebanyak membuatkan aku rasa susahnya kehidupan aku sebagai editor.
“Hmm, susah betul hidup jadi editor ni. Semua benda nak diedit.
Kalaulah aku boleh edit angka dalam akaun bank aku, kalaulah aku boleh edit rakan sekerja aku, kalaulah aku boleh edit masalah waktu kerja aku. Kalaulah…”
Kalaulah, hanya itu sahaja yang aku gumamkan. Betapa aku tidak suka dengan keserabutan. Tapi aku tidak punya pilihan lain.
Aku terpaksa juga menyiapkan kerjaku, di tengah ruang tamu rumah setingkat yang hanya didiami oleh aku seorang dan punya kelengkapan yang hampir sempurna.
Setelah aku berjaya berperang di hadapan komputer riba, aku merasakan fikiranku tepu.
Aku akhirnya memilih untuk keluar dan menikmati segelas kopi panas di kedai mamak.
Ketika itu mataku melihat budak perempuan yang aku lihat di perhentian bas beberapa hari yang lepas.
Aku mendapati dia sedang membantu bapanya, menurutku kerana mereka punya iras wajah yang sama.
Ramai kanak-kanak yang berkerumun mengajak ibu bapa mereka membeli belon yang dijual.
Aku kira belon itu sejenis propaganda yang disebarkan ke dalam fikiran manusia sebagai hiburan yang memberi rasa senang, tetapi fitrahnya belon itu sendiri yang hanya sementara, apalah yang dapat disandarkan kebahagiaan manusia pada sebiji belon yang akan meletup pada bila-bila masa sahaja dan akan mengecewakan hati?
RAJIN MENCARI REZEKI
Tapi berbalik semula dengan perihal budak perempuan yang pernah memberikan aku tisu dan minuman, aku melihat dia sebagai seorang manusia yang rajin mencari rezeki.
Pasti orang tuanya mahu mendidiknya, betapa dunia ini tidak begitu berbaik hati.
Pada masa akan datang, lebih banyak lagi dugaan yang tidak dapat diduga sehingga terbit pula rasa kasihanku padanya dan aku berbisik pada dirinya,
“Kasihan, kaulahir pada abad yang serba tidak cukup…”
Sesudah itu, aku bangun meninggalkan gelas kopi yang sudah kosong.
Kopi sewajarnya pahit, tapi aku lebih suka kopiku manis.
Bagi aku, dunia ini sudah terlalu pahit untuk dihadapi, aku tidak mahu pula menelan jadam dari minuman yang aku sukai.
* * *
Hari ini, pagiku bermula untuk menjalankan kerja lapangan sekali lagi.
Aku perlu menghadiri bengkel kesihatan.
Aku akan menyampaikan sedikit ceramah berkaitan kesihatan kepada kumpulan pelajar universiti dan aku memilih pakaian terbaikku agar aku tampil kemas di hadapan mereka.
Maka aku mahu memastikan aku di dalam keadaan yang terbaik.
Rambutku, jambangku dan gayaku harus rapi dari kepala sehingga ke kaki kerana umumnya seseorang dinilai melalui bagaimana dia menjaga penampilan diri.
Kalau mengikut prinsip pemasaran, pembungkusan itu permulaan untuk daya tarikan.
Kemudian, aku merenung diriku di hadapan cermin.
Pakaian ini, satu kekemasan yang mengajar manusia supaya perilaku yang baik juga harus dipakaikan ketika memakai pakaian yang baik.
Dan pembawaan diri melalui pakaian itu akan dibentuk oleh pemikiran. Melihat pakaian yang aku sarungkan pada tubuhku, aku melihat tinggalan sosiologi dari masa silam ketika tanah tumpahku pernah dikuasai oleh orang Barat.
Sehingga kini, tinggalan sosiologi ini kian berkembang dan membiakkan falsafah berpakaian yang sangat gemar diucapkan:
Biar papa asal bergaya – ucapan ini telah meningkatkan populasi masyarakat yang kaya pada gambar, tapi miskin di sebalik pintu.
Ini membuat aku terbayang pakaian anak-anak miskin yang serba lusuh dan dimakan waktu.
Bagiku, ekonomi ialah dua keping roti dan manusia ialah inti di tengah-tengah, sedangkan kapitalis ialah mulut yang sedia untuk mengunyah.
Tapi akhirnya, aku senyum juga di hadapan cermin. Melihat betapa segaknya aku pada pagi ini dan pakaian ini membuatkan aku berkeyakinan.
Seterusnya, aku pun meninggalkan rumahku, lalu pergi ke tempat yang dituju sambil memandu kereta yang dimiliki oleh bank pada hakikatnya.
Kereta buatan tempatan ini, ialah keperluan yang terbatas kerana aku terikat pada janjinya, pada makanannya dan juga nilai menjaganya. Lihatlah, betapa terikatnya manusia dengan segala benda.
Aku tersenyum sinis pada rasa keterikatan ini.
Termasuk juga dengan teori pembungkusan dalam pemasaran.
Biasanya, pelanggan tertipu dengan sebungkus keropok.
Bungkusannya besar, isinya segenggam.
* * *
“Aku fikir aku mahu bercuti nanti. Untuk hilangkan tekanan kerja.”
Aku memulakan perbualan dengan salah seorang rakan sekerjaku, Nami ketika kami sedang berehat di pantri pejabat.
TERAPI DIRI
Nami membancuh kopi diet kononnya kerana percaya pada iklan yang muncul 10 kali sehari di kaca televisyen dan juga di corong radio pun mengerling ke arahku sambil berkata: “Kau boleh pergi beli barang yang kau suka, Zen.
Itu pun terapi.”
“Tapi beli pengalaman lebih baik daripada beli barang.
Pengalaman dari kembara bercuti ni akan buat hati dan pemikiran kita semakin kaya,” balasku dengan bait-bait falsafah.
Lantas, Nami mengangguk setuju tapi selepas itu dia berkata lagi: “Kalau kau nak hati dan pemikiran kau lebih kaya, pergilah ke rumah kebajikan.
Tengok hidup orang gelandangan atau jenguk rumah orang susah. Aku jamin kau akan dapat kekayaan yang kau nak.”
Aku terdiam.
Hilang kata-kata, sejujurnya.
Kata-kata itu membuat aku memikirkan semula adakah wajar untuk aku pergi bercuti.
Untuk apa aku bercuti, untuk hilangkan tekanan kerja atau mahu mencari kekayaan jiwa?
Persoalan itu bermain-main di fikiran dan ia menjadi bertambah rumit apabila aku terlalu menghalusinya.
Hanya untuk membuat keputusan untuk diri sendiri, aku berperang dengan diri sendiri juga.
Akhirnya, aku terlihat budak perempuan yang sama ketika aku sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Dia kulihat sedang berniaga di sekitar perhentian bas seperti sebelumnya.
Aku terkenangkan zaman kanak-kanakku yang bebas dan gembira, hanya dengan sebiji belon atau sekepul gula-gula kapas sahaja sudah dapat menghilangkan tekanan.
Alangkah baiknya aku menjadi kanak-kanak.
“Alangkah baiknya aku tak perlu dewasa,” getusku, lalu memilih untuk meletakkan kereta di tempat letak kereta dan kemudian bergerak menuju gerai tersebut tanpa berfikir panjang.
Selepas itu aku menuding ke arah gula-gula kapas berwarna biru kehijauan sambil berkata:
“Dik, abang nak ni. Satu.”
MANIS GULA-GULA KAPAS
Budak perempuan itu menoleh, tersenyum sebaik saja melihat aku berdiri di hadapan gerai.
Tanpa berlengah, dia menyerahkan gula-gula kapas yang aku ingini dan aku pun membayarnya dengan harga RM5.
“Nah, sebiji ‘bumi’ untuk abang.
Terima kasih sudi beli.”
Sekarang, gula-gula kapas yang bercorak hampir menyamai rupa bumi berpindah tuan.
Bungkusan gula-gula kapas ini biasa sahaja – tiada jenama, tiada tanda harga, tiada secalit gambar pun untuk menarik perhatian orang, tapi bungkusannya lut sinar, isinya kelihatan dan warna kapasnya sangat menawan.
Melihat sesuatu yang berada di dalam bungkusan itu seperti satu kelebihan, menarik hati mereka yang memandang.
Begitulah aku, sama seperti yang lain.
Aku membawa ‘bumi’ yang manis lalu duduk bersendirian di bangku rehat, aku mencicip gula-gula kapas itu bersam-sama seluruh impian usia muda.
Hakikatnya, gula-gula kapas manis. Semua orang mengetahuinya.
Tetapi apabila terlalu manis, rasanya akan bertukar menjadi sedikit pahit.
“Gula-gula kapas ini pahit…”
Kata-kata itu kuucap perlahan.
Merasai cebisan gula-gula kapas yang manis dengan perit.
Tapi aku telan juga.
Ketika itu aku melihat budak perempuan itu berusaha untuk hidup di atas bumi yang tampak manis pada masa depan, tapi pahit pada masa sekarang.
MENJUAL GEMBIRA
Betapa dia cuba menjual gembira melalui gula-gula kapas dan belon kepada anak-anak lain, sedangkan hidupnya entah gembira atau tidak.
Budak perempuan itu tidak menunggu untuk menjadi kaya seperti pemain bola sepak luar negara, tapi dia telah memberi aku sepeket tisu ketika aku amat memerlukan.
Aku manusia yang mengatakan dunia sekarang sudah gila dan abad ini abad yang serba tidak cukup.
Tapi aku hidup di dunia ini, abad ini. Sama seperti budak perempuan itu.
Hakikatnya, mahu memulakan hari dengan segala perkara yang baik-baik tidak menjadikan aku benar-benar baik.
Bungkusan terbaik belum tentu isinya baik. Menjadi yang terbaik tidak mencukupi.
Bermimpi hal yang baik-baik tidak akan menjadikan segalanya baik belaka.
Segala yang baik itu, jika berlebihan boleh jadi riak juga.
Sehingga terbit pertanyaan di lubuk fikiranku yang sering mencari kebaikan di sebalik media sosial dan di kaca televisyen.
“Apakah makna sebenar kebaikan?”
Untuk berdepan dengan kegilaan dan ketidakcukupan ini, hanya perlu ikhlas saja dengan kehidupan.
Sesungguhnya, di dalam kebaikan belum tentu ada keikhlasan.