PADAWAN: Takut dimarahi isteri kerana menggadai rantai emas, seorang lelaki nekad membuat laporan polis palsu yang dirinya disamun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata perbuatan suspek itu bagaimanapun terbongkar ketika dia disoal siasat.
“Hasil soal siasat lanjut, akhirnya suspek mengaku menipu kerana ada masalah hutang dan takut dimarahi isteri sebab emas yang dikatakan telah diragut sebenarnya telah digadai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah suspek yang berusia 31 tahun dan bekerja sebagai juruelektrik telah dibebaskan secara bersyarat dengan jaminan mahkamah.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Menurut Jaw Shyong, suspek telah membuat laporan palsu di Balai Polis Batu Kawa pada 3 Mei lepas, bahawa dia diragut oleh dua lelaki tidak dikenali di kawasan tempat letak kereta, belakang bangunan kedai makan Siang-Siang Corner, Jalan Matang.
Katanya kedua-dua lelaki itu yang menggunakan sebuah motosikal EX5 telah meragut rantai emas di lehernya serta beg silangnya, yang mengandungi dokumen peribadi, kad bank, wang tunai sebanyak RM300 dan seunit telefon bimbit.