ARTIKEL

Kerangka kerjasama ASEAN-GCC bersejarah, beri manfaat kepada kedua-dua blok – Anwar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Kerangka Kerjasama 2024-2028 antara blok ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sebagai bersejarah.

“Ini bersejarah dalam erti kata GCC dan ASEAN adalah dua kumpulan serantau kecil yang sangat bertenaga dari segi ekonomi, dan kami menjalin kerjasama ini tanpa pengaruh kuasa besar,” katanya dalam wawancara dengan Arab News, di luar Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di Riyadh pada Jumaat.

Menurut Anwar, kerjasama strategik itu telah dibincangkan selama bertahun-tahun, sehingga Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman memutuskan untuk menjadi tuan rumah, dengan Malaysia menjadi penyelaras bagi pihak ASEAN.

“Kami menyelesaikan beberapa parameter mengenai bagaimana untuk meningkatkan lagi isu perdagangan dan mekanisme untuk memupuk perdagangan pelaburan,” katanya.

Menyentuh mengenai hubungan bilateral dan kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi, Anwar menyifatkan hubungan dan tahap kepercayaan antara Malaysia dan Arab Saudi sebagai ‘agak unik’ dan berharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama itu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun beberapa syarikat besar dari Malaysia dan Arab Saudi telah bekerjasama, dengan tumpuan kepada projek infrastruktur termasuk tenaga hijau serta maklumat dan teknologi (IT), kedua-dua negara boleh meneroka bidang yang lebih khusus.

“Saya berpendapat itulah secara amnya mengapa pertemuan seperti ini penting. Sebab itu bukan sahaja Menteri Luar, bahkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri juga (ada) di sini kerana mereka perlu membuat tindakan susulan mengenai bidang khusus yang boleh kita terokai,” katanya.

Dengan Arab Saudi kini beralih ke arah sebuah negara moden dengan teknologi, ekonomi yang rancak dan tenaga boleh diperbaharui, Anwar berkata ia merupakan peluang menarik bagi Malaysia dan rantau ASEAN untuk diterokai.

“Kami di Asia telah lama menceburi pelaburan industri, Malaysia, sebagai contoh, telah beralih daripada industri pergudangan kepada penghasilan mikrocip dan kini menerajui bidang itu. Justeru kolaborasi seperti ini sangat berfaedah,” katanya.

Dalam satu lagi wawancara dengan akhbar antarabangsa Arab Asharq Al-Awsat, Anwar berkata beliau meletakkan harapan yang tinggi terhadap hasil sidang kemuncak itu dan percaya ia akan mengukuhkan hubungan ekonomi antara GCC dan ASEAN.

Anwar juga berkata kerjasama dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi perlu dikekalkan, memandangkan banyak syarikat Malaysia kini mengambil bahagian dalam projek besar di Riyadh dan zon ekonomi khas NEOM, dalam pelbagai bidang.

“Kerajaan di bawah kepimpinan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, kini telah melonjakkan pelaburan pembangunan pelaburan dengan cara yang hebat.

“Justeru, Malaysia, seperti yang anda tahu, perlu mengekalkan kerjasama dua hala ini,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia bersedia untuk memeterai kerjasama baharu dengan Arab Saudi dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi hijau.

— BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Pencalonan Anugerah Sastera Negara kini dibuka

KUALA LUMPUR: Pencalonan bagi Anugerah Sastera Negara Ke-16, khusus untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan tertinggi bertaraf negara kepada tokoh sasterawan, kini dibuka mulai semalam hingga

BERITA TERBARU

Pencalonan Anugerah Sastera Negara kini dibuka

KUALA LUMPUR: Pencalonan bagi Anugerah Sastera Negara Ke-16, khusus untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan tertinggi bertaraf negara kepada tokoh sasterawan, kini dibuka mulai semalam hingga

Meruked lancar muzik video baharu

KUMPULAN muzik tempatan Meruked melancarkan single dan muzik video terbaharu mereka berjudul Kining Posah pada Jumaat ini.  Menurut vokalis, Syed Ashraf Edruce, Kining Posah bermaksud

Tarikan ekopelancongan burung walit

AKTIVITI EKONOMI dan keusahawanan penduduk kampung mampu dibangun dan diperkasa melalui pembangunan Projek Ekopelancongan Burung Walit Kampung Merembeh. Projek tersebut membuka peluang pekerjaan baharu dan